ISU 1MDB HANGATKAN DEWAN RAKYAT

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat sesi pagi hari ini hangat apabila Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng dihalau keluar dewan.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Ismail Mohamed Said mengeluarkan arahan selepas mendapati Lip Eng gagal mengikut peraturan mesyuarat apabila tetap bertanyakan mengapa isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak dibahaskan.

Tidak hanya itu, ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang yang ‘cuba’ untuk mendapatkan jawapan mengenai perkara sama turut diarah duduk.

“Mengapa Parlimen tak mahu bahas? Mengapa Parlimen mahu terjebak dalam masalah penipuan dalam sektor kewangan,” kata Kit Siang.

Ismail berkata, bisnes kerajaan perlulah diberi keutamaan berbanding isu lain.

Sementara itu, dalam satu sidang media, Lip Eng berkata, pertanyaannya mengenai 1MDB tidak diendahkan sedangkan isu itu sangat penting.

“Soalan saya apakah tindakan yang telah diambik oleh 1MDB terhadap semua hutang-hutangnya.

“1MDB sudah dijawab oleh Perdana Menteri semalam dengan jawapan masalah teknikal. Ia bukan hanya teknikal,” katanya.

Jelasnya, Dewan Rakyat perlu membahaskan isu ini.

“Saya sangat sedih. Soalan saya ditolak, dan saya dihalau keluar.

“Saya tidak tahu berapa lama saya tidak boleh masuk Dewan,” katanya.

– SH

.