Isu 10 peratus: ‎Azmin tempelak kenyataan Noh

SHAH ALAM – Kenyataan dibangkitkan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar berkaitan pemansuhan diskaun 10 peratus Bumiputera baru-baru ini disifatkan sebagai pembohongan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata demikian mengulas kenyataan Noh yang mempertikaikan tindakan kerajaan negeri memansuhkan diskaun 10 peratus melibatkan pangsapuri perkhidmatan, rumah pejabat (Soho) dan pejabat maya di rumah (Sovo) di Selangor.

Menurutnya, kerajaan negeri sudah berbincang dengan pemaju supaya harga pangsapuri perkhidmatan, Soho dan Sovo diselaraskan antara RM230,000 hingga RM270,000.

“Perkara tersebut juga mendapat makluman Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Redha), malah exco berkaitan juga sudah memberi penjelasan kuota jualan untuk Bumiputera dikekalkan dan kerajaan negeri melakukan penyelarasan harga Soho dan Sovo.

“Sebelum ini, harga Soho dan Sovo nilainya melebihi RM450,000 dan jika diberi diskaun 10 peratus, mereka tetap tak mampu membelinya. Jadi kenyataan beliau (Noh) boleh disifatkan sebagai pembohongan,” katanya selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Tahunan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Selangor ke-64, di sini, semalam.

Beliau berkata, persoalan pengkhianatan yang ditimbulkan juga tidak betul kerana penyelarasan harga itu memberi peluang lebih besar kepada bumiputera memiliki Soho dan Sovo.

Katanya, sebelum ini, harga hartanah itu tinggi kerana ia berstatus komersil dan perniagaan, bukan kediaman.

“Harga jualan Bumiputera bagi projek lain kekal, tiada sebarang pembatalan.

“Kita mahu beri keadilan kepada semua rakyat Selangor tanpa menjejaskan hak bumiputera dan sebab itu kita tak batalkan harga jualan khusus kepada Bumiputera tetapi berusaha bantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana memiliki Soho dan Sovo,” katanya. – Sinar Harian

.