ISTERI: POLIS TAK BERTINDAK SELEPAS AMRI HILANG

Norhayati Ariffin, isteri kepada aktivis yang hilang Amri Che Mat dalam siasatan awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) mengadu polis tidak bertindak terhadap kes suaminya.

Menurut Norhayati, dua laporan polis dibuat pada 25 November 2016 dan 8 Disember 2016 serta kenyataan beliau telah direkod pegawai penyiasat Inspektor Khor dalam empat pertemuan.

Pihak polis juga mendapatkan sampel air liur beliau dan anak-anaknya serta diminta mengenal pasti ciri-ciri tubuh Amri.

Bagaimanapun, selain daripada itu, beliau berkata pihak polis tidak memberitahu keadaan terkini perkembangan kes. Norhayati berkata pada bila-bila masapun pertanyaan beliau hanya diberitahu tiada perkembangan terbaru.

Dalam keadaan sebak beliau menyuarakan kekecewaannya terhadap pasukan polis.

“Selepas lebih satu tahun Amri hilang, saya dan anak-anak perempuan saya masih keliru kerana tiada maklumat atau pun usaha daripada pihak polis mengenai di mana suami saya berada hingga ke hari ini.

“Saya kini seorang ibu tunggal dan terpaksa menyara dan membesarkan keempat-empat anak perempuan saya seorang, yang anak bongsu hanya berumur 11 tahun dan sangat memerlukan kasih sayang seorang ayah.

“Saya terpaksa menerima pelbagai tomahan kerana tiada langsung satu jawapan yang tepat mengenai kehilangannya. Suami saya seorang yang suka menolong orang yang kurang bernasib baik dan selalu membawa kegembiraan ke mana-mana dia pergi. Kehilangannya memberi kesan yang sangat mendalam kepada saya, anak-anak dan keluarga kami,” katanya kepada panel siasatan.

Kes orang hilang

Guru sekolah menengah berusia 45 tahun itu berharap siasatan ini akan membawa kebenaran dan mengakhiri penderitaan mereka.

Beliau memberitahu siasatan itu telah bertanyakan Khor berkenaan perkembangan siasatan kes pada Januari tahun lalu.

Secara khusus, beliau bertanya sama ada pihak polis telah membuat sekatan jalan, memeriksa kamera litar tertutup atau mendapatkan rekod telefon bimbit Amri.

Menurut Norhayati, pegawai polis tersebut memberi jawapan tidak atas semua persoalannya itu kerana katanya, mereka menangani kes ini sebagai kes orang hilang dan bukan kes penculikan.

– M’kini

.