ISTERI DICULIK, SUAMI SIBUK MAIN BADMINTON

KUALA LUMPUR – Terdesak untuk melepaskan diri daripada hutang, pasangan suami isteri tergamak membuat laporan palsu mendakwa diculik warga asing.

Kisah pasangan itu mula tular selepas seorang pemilik laman sosial Facebook, Hafiz Retro memuat naik beberapa paparan skrin Whatsapp dan Facebook Messenger mengenai kejadian culik tersebut.

Hafiz Retro yang memuat naik paparan skrin tersebut dipercayai berniat untuk mengingatkan orang awam terutamanya kaum wanita agar berhati-hati ketika keluar rumah.

Seorang lelaki didakwa membuat laporan palsu mengenai penculikan isterinya oleh seorang lelaki warga Bangladesh ketika membuat penghantaran barang kepada pelanggan.
Lelaki tersebut yang didakwa merupakan seorang anggota polis dipercayai berbuat demikian kerana dibebani hutang pinjaman bernilai RM22,000.

Bagaimanapun, temberang pasangan berkenaan akhirnya pecah apabila beberapa orang netizen tampil menjelaskan bahawa kes itu hanyalah rekaan mereka berdua.

Seorang wanita, Aniza Mohd Yatim berkata, suami isteri tersebut merupakan kaki penipu dan si suami yang bernama Nizam dilihat sempat bermain badminton tanpa menunjukkan sebarang tanda isterinya, Zila sudah diculik.

“Lari hutang ni. Petang ini ada ‘meeting’ pasal kes ini la.

“Laki (suami) dia dah tukar Teluk Intan (balai polis) tapi rumah masih di Seri Iskandar,” katanya melalui pesanan aplikasi Whatsapp.

Sementara itu, seorang lagi wanita, Wafaa Nabila pula berkata, dia meminta netizen untuk berhenti mengongsikan kisah pasangan tersebut kerana mereka adalah penipu.

“Harap laki (suami) dia kena gantung kerja, buat laporan palsu semata-mata nak lari bayar hutang,” ujarnya dalam satu komen di laman sosial Facebook Pen Hitam Dot Com.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Perak Tengah mengesahkan pihaknya sudah menerima laporan berhubung kes tersebut.

“Laporan sudah ada dan kes ini masih dalam siasatan.

“Ada cerita lain disebaliknya, tapi saya belum boleh kongsikan,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Isnin.

– Mstar

.