ISMAIL SABRI TAK DIMAKLUM ANNUAR ‘DIGANTUNG’

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan beliau tidak tahu menahu mengenai keputusan Majlis Amanah Rakyat (MARA) menggantung tugas pengerusi mereka, Tan Sri Annuar Musa.

Kata Ismail Sabri, beliau kini sedang menunggu laporan mesyuarat daripada Ahli Majlis MARA.

“Saya tak pasti apakah mesyuarat khas ada kuasa untuk menggantung pengerusi.

“Saya tidak tahu sama ada keputusan tersebut menggantung atau mencadang untuk menggantung.

“Setahu saya kuasa melantik pengerusi adalah di bawah kuasa menteri dan mendapat persetujuan perdana menteri.

“Saya yakin ianya termasuk memberhentikan pengerusi atau menggantung,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini, sebentar tadi.

Menurut Ismail Sabri, beliau yakin keputusan mesyuarat berkenaan hanya bersifat cadangan.

Terdahulu, MARA dilaporkan menggantung tugas Annuar termasuk sebagai pengerusi Pelaburan Mara Bhd (PMB), berkuat kuasa serta-merta.

Difahamkan keputusan itu dicapai dalam satu mesyuarat tergempar yang bermula sejak jam 9 pagi tadi di Ibu Pejabat MARA, di Kuala Lumpur.
Menurut laporan BH Online, mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Ahli Majlis MARA, Datuk Dr Yusof Yacob.

Ismail Sabri berkata, beliau akan mendapatkan pandangan daripada penasihat undang-undang mengenai perkara itu.

“Saya dimaklumkan tentang mesyuarat, tetapi tidak tahu apa agendanya,” katanya.

– M’kini

.