ISMAIL SABRI: MARA TERJEJAS DENGAN TAJAAN RED WARRIORS

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Yaakob mengakui bahawa agensi persekutuan MARA terjejas dengan penajaan oleh dua anak syarikatnya kepada pasukan bolasepak Kelantan, The Red Warriors (TRW).

Akhbar The New Straits Times melaporkan Ismail berkata: “Kesannya adalah ke atas MARA kerana kedua-dua penaja itu (Pelaburan Mara Bhd dan UniKL) adalah anak syarikat milik penuhnya.

“Berapa banyak disumbangkan dan bila tajaan bermula masih sedang disiasat. Saya masih menunggu laporan penuh,” kata Ismail yang dipetik akhbar itu.

“Seperti saya katakan sebelum ini dan sementara menunggu laporan lengkap siap, setiap penajaan perlu dihentikan buat sementara waktu.”

Ismail berkata demikian sebagai mengulas arahan terbaru supaya kedua-dua anak syarikat itu menggantung semua bentuk penajaan, kecuali yang berkaitan dengan pendidikan, daripada diberikan tahun ini.

Keputusan itu dibuat susulan pendedahan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bahawa Pengerusi MARA, Tan Sri Annuar Musa menggunakan kedudukannya di Mara dan UniKL untuk mendapatkan penajaan kepada TRW.

Tunku Ismail juga mendedahkan beberapa dokumen yang memperincikan urus niaga tersebut dan mempersoalkan tajaan itu sedangkan UniKL terpaksa mengurangkan biasiswa sebanyak RM700 juta kepada pelajarnta, tahun lalu.

Annuar yang juga adalah bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), telah menafikan dakwaan tersebut. Beliau berkata MARA akan mematuhi arahan Ismail dan akan menyediakan laporan penuh mengenai perkara itu.

– M’kini

.