ISMAIL SABRI LAWAN ANNUAR MUSA: UNIKL TIDAK IKTIRAF UEC

BERA – Universiti Kuala Lumpur (UniKL) tidak pernah mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebagai syarat kemasukan penuntut ke institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) itu.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, UniKL tidak pernah berhasrat membuka kemasukan untuk pemegang sijil UEC walaupun Kementerian Pendidikan Tinggi membenarkan berbuat demikian sejak dari tahun 2004 lagi.

Menurutnya, UniKL adalah sebuah universiti swasta yang merupakan anak syarikat milik penuh Majlis Amanah Rakyat (Mara) iaitu sebuah agensi kerajaan, dan tindakan UniKL tidak mengiktiraf UEC berikutan ia tidak selaras dengan falsafah pendidikan negara yang memerlukan kelulusan Bahasa Melayu dan Sejarah sebagai bahasa teras dalam pelajaran.

“Bagaimanapun penuntut bukan Melayu dan dari luar negara boleh memasuki UniKL menggunakan sijil biasa seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk diploma dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) untuk ijazah atau setaraf dengannya seperti A Level,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Siraturrahim Bersama Ketua Umno Bahagian Bera di Kompleks Rakan Muda Bera, hari ini.

hadir sama, Naib Ketua Umno Bahagian Bera, Datuk Norol Azali Sulaiman dan Ketua Wanita Umno Bahagian Bera, Datuk Sabariah Saidan.

Sebelum ini, Pengerusi Mara, Tan Sri Annuar Musa menjelaskan UniKL mengiktiraf UEC sebagai syarat kemasukan ke universiti tersebut.

Annuar dalam kenyataannya berkata, walaupun di bawah kendalian Mara, UniKL adalah IPTS yang mendapat kelulusan Kementerian Pendidikan Tinggi untuk menerima permohonan pemegang sijil tersebut.

Ismail Sabri berkata, walaupun dibenarkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi, namun UniKL tidak semestinya mengikut kebenaran yang dikeluarkan tersebut.

“Mengenai kenyataan Annuar, itu mungkin pandangan peribadinya kerana melihat kepada surat daripada Kementerian Pendidikan Tinggi yang membenarkan pelajar yang memiliki sijil UEC diterima di UniKL.

“Jumlah enrolmen terkini penuntut UniKL adalah seramai 26,000 orang. UniKL menawarkan program yang mendapat pengiktifaran dan akreditasi dari badan-badan akreditasi dan profesional.

“Jadi, syarat kemasukan adalah tertakluk oleh keperluan badan-badan tersebut dan sehingga kini, sijil UEC tidak pernah menjadi sebahagian syarat kemasukan ke UniKL,” kata beliau.

Beliau berkata, UniKL merupakan sebuah IPTS yang ditubuhkan pada 2002 dan dimiliki sepenuhnya oleh Mara.

– UTUSAN

.