ISMAIL: GESA UNDANG PEMANTAU LUAR CUBAAN BERI GAMBARAN BURUK PADA SPR

Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan gesaan pakatan pembangkang agar badan asing dipanggil bagi memantau perjalanan pilihan raya umum (PRU) ke-14 bertujuan memberi gambaran buruk terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Katanya mereka mahu menunjukkan bahawa SPR tidak mampu mengendalikan perjalanan PRU kali ini walaupun selama ini agensi tersebut menguruskan pilihan raya tanpa sebarang masalah.

“Cadangan itu tidak lain semata-mata untuk menunjukkan bahawa SPR tidak boleh dipercayai sebagai sebuah badan bebas, telus dan berkecuali. Tetapi jika benar SPR tidak berlaku adil, mengapakah pembangkang berjaya menguasai Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor,” katanya semalam.

Beliau ditemui pemberita di program Moh Ngeteh bersama kira kira 500 warga Pejabat Daerah dan Tanah Bera, Majlis Daerah Bera dan Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah di Bera.

Ismail Sabri yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah turut menyifatkan gesaan pembangkang tersebut sebagai usaha membawa masuk campur tangan asing dalam pentadbiran negara ini.

Kelmarin, Timbalan Presiden Pakatan Harapan Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan mencabar kerajaan supaya mengundang pasukan pemantau pilihan raya bebas daripada Sekretariat Komanwel dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk memantau perjalanan PRU14.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata SPR perlu diberikan kepercayaan penuh mengendalikan PRU di negara ini tanpa campur tangan pihak yang tidak berkenaan.

Anggota Parlimen Bera itu meminta rakyat supaya tidak mudah percaya dengan penyebaran berita palsu menerusi media sosial yang boleh mencetuskan pelbagai persepsi negatif dan merosakkan keharmonian negara.

– Bernama

.