ISMAIL: DR M NAK NAIKKAN MUKHRIZ DEMI DENDAM PADA UMNO

Kegigihan Tun Dr Mahathir Mohamad menentang Umno disebabkan bekas perdana menteri itu berdendam kepada parti berkenaan yang tidak memberi peluang kepada anaknya untuk meningkat naik.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendakwa oleh kerana itulah Dr Mahathir cuba menaikkan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

“Saya rasa Dr Mahathir memang ada rancangan untuk anaknya sejak awal lagi.

“Ia (berlaku) kerana beliau sangat kecewa kepada Umno kerana menganggap Umno tak memberi peluang kepada anaknya,” kata Ismail.

Anggota parlimen Bera itu juga mendakwa kerana sakit hati Dr Mahathir itu jugalah mendorong beliau bersama-sama DAP yang pernah dikritiknya sebelum ini.

“Saya percaya tujuan Dr Mahathir sejak dari awal adalah untuk menaikkan anaknya.

“Sebab tu tindak tanduk beliau tidak rasional dan sangat beremosi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat lawatan hari pertama sesi baru persekolahan di Tabika Kemas di Bandar Baru Salak Tinggi.

Sebelum ini Mukriz yang juga Timbalan Presiden Parti Pertubuhan Pribumi Bersatu (BERSATU) menafikan terdapat perjanjian sulit antara bapanya dan veteran DAP Lim Kit Siang untuk memilihnya sebagai perdana menteri.

Kata Mukhriz tuduhan bekas naib pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim itu sengaja dikeluarkan bagi mengelirukan rakyat tentang tujuan sebenar BERSATU dan Pakatan Harapan (HARAPAN).

Sementara itu Ismail berkata BERSATU kini semakin lemah apabila satu demi satu individu penting yang selama ini menyokong mereka keluar meninggalkan parti berkanan.

Memetik nama seperti Datuk Khairuddin Abu Hassan dan Datuk Mohamad Ezam Mohd Noor, Ismail berkata Umno tidak tahu apa yang berlaku dalam BERSATU.

Namun yang pasti, katanya, seorang demi seorang tokoh dalam parti serpihan Umno berkenaan keluar dari situ.

“Khairuddin penyokong kuat, sanggup menyaman Datuk Seri Najib Razak dan sanggup pergi ke luar negara, ke Amerika dan sebagainya.
“Tiba-tiba penyokong kuat seperti Kharuddin pun boleh keluar daripada ‘parti bunga’ ini.

“Begitu juga dengan Ezam – dia masuk ‘parti bunga’ dan tiba-tiba keluar selepas tiga bulan. Saya rasalah tentu ada masalah,” katanya.

Untuk makluman, Dr Mahathir dilantik sebagai pengerusi BERSATU dan parti berkenaan digelar Ismail sebagai “parti bunga” kerana lambang digunakan mengambil motif bunga raya.

– M’kini

.