Isi RM1 juta heroin dalam sebiji durian

KOTA BHARU – Begitu mudah melakukan aktiviti seludup barang terlarang dari Thailand melalui sempadan Rantau Panjang-Narathiwat, betul-betul di depan mata anggota penguat kuasa yang mengawal sempadan, kata bekas pengedar dadah.

Perkara ini didedahkan oleh Abdullah (bukan nama sebenar) yang menjalankan kegiatan menyeludup sejumlah besar heroin dari Thailand selama empat tahun sehingga 2006.

Dia bagaimanapun ditangkap, tetapi bukan di sempadan. Identitinya didedahkan oleh seorang pelanggannya yang ditahan atas kesalahan memiliki dadah.

Abdullah yang kini berusia 47 tahun, dihukum penjara lapan tahun di Penjara Chenor, Pahang dan dikenakan 10 sebatan rotan.

Nasibnya agak baik kerana sebelum ini jumlah dadah yang diseludup melalui Jambatan Muhibbah iaitu merentasi Sungai Golok dan melalui pemeriksaan di Kompleks Imigresen, Kastam, Keselamatan dan Kuarantin di Rantau Panjang sudah cukup untuk membawanya ke tali gantung iaitu kesalahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, jika diberkas.

Abdullah yang dibebaskan dari penjara pada 2014 berkata: “Saya pernah membawa masuk sebiji durian bersaiz besar yang diisi dengan heroin seberat kira-kira satu kilogram.

“Dengan harga pasaran (dadah) di negara ini hampir satu juta ringgit,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Abdullah seperti penyeludup lain, menyorokkan dadahnya di dalam buah-buahan seperti nanas, kelapa serta durian dan sayuran pula seperti peria, labu dan sebagainya.

Katanya buah-buahan atau sayur itu akan dipotong rapi, dibuang isi dan biji, kemudian dimasukkan dadah atau bahan larangan lain seperti komponen senjata. Belahan buah-buahan dan sayuran itu kemudiannya digam dengan rapi agar tidak menampakkan kesan.

Abdullah berkata beliau mula bergiat dalam aktiviti penyeludupan dadah selepas terdesak apabila gagal dalam perniagaan kain dan pakaian.

Sebelum itu beliau merupakan tukang kayu dan tukang rumah yang banyak menerima tempahan.

Pernah bekerja di Singapura dan berjaya mengumpul sejumlah wang yang kemudian memilih membuka perniagaan menjual kain dan pakaian di Terengganu.

“Saya ada ramai pelanggan tapi malangnya mereka gagal membayar hutang,” katanya.

Selepas dua tahun, beliau menanggung hutang RM50,000 dengan pengedar di Thailand.

Katanya, beliau sekeluarga mengalami kesempitan hidup, sehingga satu hari beliau ternampak anak lelakinya yang berumur 13 tahun mengutip tin kosong untuk dijual bagi mendapatkan belanja sekolah.

Beliau sebak memikirkan nasib keluarganya dan bertekad untuk mendapatkan wang walau dengan apa cara sekalipun.

“Saya akhirnya membuat keputusan berjumpa sepupu di Thailand, seorang peniaga yang kaya raya dengan hasil menjual dadah,” katanya.

Sepupunya mengajar Abdullah, bagaimana untuk mengisi dadah itu di dalam sayur dan buah-buahan dengan membayarnya upah RM100 bagi satu tiub heroin seberat 3.3 gram yang dihantarnya kepada pelanggan di Terengganu.

“Tidak lama kemudian saya menyeludup 10 tiub, melakukan dua kali penghantaran seminggu. Dalam tempoh dua tahun saya berjaya melangsaikan hutang dengan pembekal kain,” katanya.

Beliau kemudian memilih bekerja dengan ketua pengedar dadah yang lebih besar dari seberang yang memberinya upah yang lumayan.

Katanya dalam tempoh empat tahun bergelumang dalam aktiviti itu, polis membuat pemeriksaan ke atas kereta dan rumahnya beberapa kali, tetapi gagal mengesan sebarang bukti – sehingga seorang ‘pelanggannya’ membocorkan identitinya.

“Isteri saya di luar rumah dan saya berada di dalam rumah pada petang kejadian itu apabila dia menjerit, beritahu polis datang,” kata Abdullah mengimbau kembali kejadian berkenaan.

Beliau yang ketika itu sedang memberi makan burung peliharaannya, berlari ke dapur dan mengambil plastik berisi tiga biji nanas yang mengandungi dadah, dan membuangnya ke dalam selut di bawah rumah melalui lantai yang siap dipotong.

“Lega saya apabila melihat plastik nanas itu tenggelam di dalam air selut yang sedalam paras lutut. Saya menutup semula lantai itu dan menunggu polis dengan tenang.

“Ada lima anggota polis. Mereka menggeledah seluruh rumah tetapi tidak menemukan dadah itu. Saya fikir sekali lagi saya terselamat. Namun sebaik mahu pulang, seorang daripada mereka ternampak plastik berisi nanas itu timbul,” kata Abdullah.

Selain dipenjara dan disebat, semua hartanya termasuk barang kemas isteri dan wang simpanan di dalam bank, disita.

Beliau yang kini telah serik dan insaf, mengajar kanak-kanak di kampungnya mengaji al-Quran. – Bernama

.