ISA SAMAD ‘PERSON OF INTEREST’ KES FELDA HILANG TANAH

KUALA LUMPUR – “Kehilangan” tanah Felda di sini bernilai lebih RM250 juta akan disiasat sebagai kes penipuan dan pemalsuan dokumen, kata polis.

Timbalan ketua polis negara berkata pengerusi Felda waktu itu Tan Sri Isa Samad akan dipanggil untuk siasatan menjelang minggu depan, lapor Star Online.

“Polis pasti mengambil keterangannya mengenai perkara ini,” kata Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, yang menyifatkan Isa sebagai “person of interest”.

“Kami akan menyiasat kes ini sebagai penipuan dan pemalsuan dokumen.”

Istilah “person of interest” digunakan oleh pihak berkuasa, khususnya di Amerika Syarikat, untuk menggambarkan seseorang yang disyaki terlibat.

Tidak sama dengan suspek, individu ini tidak ditahan atau dituduh secara rasmi sebagai terlibat dalam sesuatu jenayah.

Menubuhkan pasukan khas, polis setakat ini merekodkan keterangan lebih lima individu, termasuk pegawai Felda dan pejabat tanah, sejak kes ini bocor.

Isa pernah menjadi pengerusi Felda dari 2011 hingga Januari 2017, pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) mulai Januari 2011 hingga Jun lalu.

Beliau juga pengerusi FIC sejak ditubuhkan pada 2 Julai 2013 hingga 2017.

Khamis lepas, Berita Harian melaporkan Felda berisiko kehilangan hak ke atas tanah di Jalan Semarak akibat transaksi yang diragui pada 2015.

Susulan itu, perdana menteri mengarahkan siasatan dijalankan berhubung tanah itu yang terlepas ke tangan pemaju Kuala Lumpur Vertical City (KLVC).

“Siasatan akan dijalankan bagi memastikan sekiranya ada kecuaian atau salah laku oleh mereka yang terbabit,” kata Datuk Seri Najib Razak.

“Tindakan akan diambil terhadap sebarang kecuaian atau salah laku.”

Akhbar itu melaporkan pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Samad mengakui tiga lot tanah bernilai lebih RM250 juta telah berpindak milik.

Hanya sebahagian kecil iaitu lot “SPA3” masih milik agensi itu, daripada keseluruhan tanah bernilai lebih RM270 juta.

Shahrir dilaporkan “tidak faham” bagaimana hak milik itu berpindah, antaranya kerana tiada dokumen jual beli dan ia tidak menerima sebarang wang.

– Malay Mail

.