ISA MENANG, ZAKARIA KECUNDANG?

Dalam ulasannya mengenai kemelut FGV sebagaimana yang dijanjikannya semalam,  Najib Razak mahu segala-galanya diselesaikan pada Ramadan ini juga atau sebelum tibanya sambutan Hari Raya.
Beliau seterusnya memberi panduan penyelesaian mesti berasaskan tiga perkara – dilakukan mengikut undang-undang syarikat, selaras dengan prinsip urus tadbir yang baik dan mesti melalui proses yang adil.
Apa makna kata-kata Perdana Menteri itu?
Semalam blog ini, berdasarkan sumber-sumber yang boleh dipercayai diberitahu bahawa siasatan dalaman terhadap CEO FGV, Zakaria Arshad sudah pun selesai dan lanjutannya satu surat tunjuk sebab akan dikeluarkan terhadapnya pada Selasa, 13 Jun ini.
Beliau dijangka diberi tempoh seminggu untuk menjawab surat tunjuk sebab itu.
Zakaria akan diberi peluang menjawab tuduhan-tuduhan terhadapnya berhubung urusniaga Safitex, sebuah syarikat Afghanistan yang berpangkalan di Dubai dengan Delima Oil Products, anak syarikat FGV sehingga menyebabkan syarikat itu menanggung hutang tertunggak yang besar.
Kedudukan beliau selepas itu akan ditentukan oleh Lembaga Pengarah FGV yang dipengerusikan oleh Isa Samad berdasarkan jawapannya terhadap surat tunjuk sebab itu.
Zakaria bersama tiga yang lain sekarang ini sedang dicutikan untuk memudahkan siasatan dalaman dijalankan terhadapnya.
Pada petang semalam juga, Zakaria yang sebelum ini berkeras tidak mahu berundur, malah mencabar akan membawa ke mahkamah jika beliau dipecat, ternampak sudah mula mengendur.
Katanya, beliau sedia berhenti jika diminta oleh Perdana Menteri.
Jika  dikaitkan dengan apa yang sedang dilakukan Isa iaitu melakukan siasatan dalaman dan kemudian mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Zakaria pada Selasa ini, ia sebenarnya selari  dengan keinginan Najib agar kemelut FGV dapat diselesaikan dalam bulan Ramadan atau sebelum tibanya sambutan Aidil Fitri pada 25 Jun depan.
Malah, proses yang telah, sedang dan akan dilakukan oleh Lembaga Pengarah FGV terhadap Zakaria juga dilihat bertepatan dengan tiga perkara yang dinyatakan Najib iaitu mengikut undang-undang syarikat, selaras dengan prinsip urus tadbir yang baik dan melalui proses yang adil.
Dalam erti kata lain, semua tindakan Isa dan Lembaga Pengarah FGV terhadap Zakaria jelas mendapat restu daripada Najib.
Perlantikan Idris Jala sebagai pihak yang berkecuali untuk memberi pandangan mengenai kemelut yang timbul dalam FGV lebih mungkin bersetuju dengan proses tindakan oleh Lembaga Pengarah itu serta mencadangkan pengunduran Zakaria sebagai jalan penyelesaiannya.
Apa pun jawapan Zakaria dalam surat tunjuk sebabnya nanti, peluang beliau untuk terus kekal sebagai CEO FGV barangkali hanya tinggal senipis kulit bawang saja lagi.
Ulasan Najib mengenai kemelut FGV, sama ada ia mahu diselesaikan sebelum Hari Raya atau tiga perkara yang disebutkannya, ia adalah bayangan beliau  memihak kepada Isa, meskipun lebih banyak pihak menuntut bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu diundurkan berbanding Zakaria.
Tidak mustahil juga Zakaria akan mengambil keputusan berhenti lebih awal sebelum pun beliau menjawab surat tunjuk sebab terhadapnya berdasarkan penilaian yang dicadangkan oleh Idris Jala nanti.
Ini kerana suara Idris dalam kes FGV ini adalah suara yang mewakili keinginan Perdana Menteri dan Zakaria juga sudah menyatakan sedia berhenti jika diminta oleh Perdana Menteri.

Akhirnya Isa menang, Zakaria kecundang.

– http://shahbudindotcom.blogspot.my

.