ISA DITAHAN SPRM TAPI MASTERMIND YANG SEBENAR IALAH…

Bekas menteri besar Negeri Sembilan dan pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) , Tan Sri Isa Abdul Samad, ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sebentar tadi.

Menurut sumber, penahanan Isa ada kaitan dengan siasatan agensi antirasuah itu terhadap pembelian dua hotel oleh syarikat Felda Investment Corporation (FIC).

Menurut sumber, Isa ditahan ketika hadir untuk memberi keterangan kepada SPRM di ibu pejabat agensi terbabit di Putrajaya kira-kira jam 2.40 petang tadi.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki, mengesahkan penahanan Isa.

Katanya tindakan menahan bekas naib presiden Umno itu adalah tindakan susulan penyiasat SPRM yang memperoleh keterangan-keterangan daripada pelbagai pihak sebelum ini.

“Justeru, SPRM yakin mempunyai asas kukuh untuk membuat penahanan tersebut supaya beliau dapat membantu melengkapkan siasatan kes berkenaan,” tambah beliau.

image: https://i.malaysiakini.com/1121/50355e391df35ab11b7bb880827ab5e1.jpeg

Isu pembelian hotel oleh FIC bukan sesuatu yang baru. Kira-kira empat tahun lalu Isa – yang kini dilantik menjadi pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) – mempertahankan tindakan tersebut.

Kata Isa pembelian hotel di London itu tidak bertentangan dengan perniagaan teras syarikat perladangan terbabit.

FIC yang juga anak syarikat Felda membeli Grand Plaza Service Apartments bernilai £115 juta (RM586.5juta) itu selepas pernah melabur dalam lapan hotel sebelum itu.

“Hotel ini bukan satu perkara luar biasa, pembangkang tak berapa faham, sebelum ini kita dah beli lapan hotel,” katanya pada Oktober 2013.

Pada 27 Mei 2015, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low memberitahu siasatan awal SPRM tidak menemui apa-apa asas kesalahan berhubung dakwaan penyelewengan pembayaran RM538 juta oleh FIC untuk membeli sebuah hotel mewah di London.

Low ketika itu menjawab soalan Anggota Parlimen Seremban Anthony Loke, di Dewan Rakyat, yang bertanya mengenai status siasatan pembelian hotel mewah Grand Plaza Kensington di London.

Bagaimanapun pada 14 Julai lalu Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad mengarahkan kertas siasatan pembelian hotel itu dibuka semula ekoran ada maklumat baru mengenainya.

Kata Dzulkifli pasukan penyiasat juga mengambil dokumen berkaitan pembelian hotel tersebut dan menilai serta meneliti kesemua maklumat diperolehi.

“Menerusi maklumat siasatan awal, FIC dipercayai membeli hotel itu dengan harga jauh lebih tinggi berbanding harga asal sehingga mengakibatkan FIC mengalami kerugian jutaan ringgit,” katanya.

MKINI

.