IPIC SAHKAN 1MDB LUNAS BAYARAN TERTANGGUH

Syarikat 1MDB melunaskan bayaran ansuran pertama kepada syarikat International Petroleum Investment Co (IPIC) sebagai sebahagian daripada perjanjian penyelesaian yang dicapai kedua-dua pihak.

“IPIC sudah menerima dana penyelesaian yang perlu dibayar oleh Menteri Kewangan (Diperbadankan) Malaysia dan 1MDB pada 31 Ogos yang asalnya perlu diselesaikan pada 31 Julai mengikut penyelesaian dan persetujuan bagi membayar faedah ingkar ke atas pembayaran yang tertangguh,” kata IPIC dalam kenyataan kepada Bursa Saham London.

IPIC tidak menyatakan jumlah dana yang diterima itu, tetapi berdasarkan pengumuman pada 1 Ogos, dijangkakan ia bernilai AS$602,725,000 bagi pembayaran faedah lain bernilai AS$26,024,509.59.

1MDB sepatutnya membayar jumlah itu pada 31 Julai tetapi syarikat pelaburan milik kerajaan Malaysia itu memohon mendapatkan tempoh lanjutan atas alasan kelewatan penerimaan dana akibat isu kelulusan peraturan.

Dalam pengumumannya pada 8 Ogos, IPIC memaklumkan mereka memberikan tempoh lanjutan kepada 1MDB tertakluk kepada bayaran AS$310 juta menjelang 12 Ogos dan bakinya sebelum 31 Ogos.

1MDB juga dikehendaki membayar faedah tambahan atas kelewatan itu.

Syarikat itu membuat ansuran bayaran pertama pada 11 Ogos dan selebihnya hari ini.

1MDB masih perlu melunaskan ansuran lanjut kepada IPIC bernilai AS$602,725,000 selain faedah dalam jumlah berasingan yang tidak didedahkan menjelang 31 Disember sebagai persetujuan dicapai mereka sebelum ini.

Selain pembayaran itu, sebagai sebahagian daripada penyelesaian dicapai 1MDB juga bersetuju untuk menanggung pembayaran faedah dan pokok bagi dua bon berjumlah AS$ 3.5 bilion dijamin kepada IPIC.

Sementara itu dalam kenyataanya hari ini 1MDB mengesahkan mereka menyelesaikan bayaran yang sepatutnya dilunaskan pada 31 Julai sebelum ia dilanjutkan kepada 31 Ogos.

“Semua dana dibayar daripada hasil program rasionalisasi yang berterusan,” katanya.

– M’kini

.