INSENTIF PENEROKA FELDA DARIPADA TITIK PELUH SENDIRI

ALHAMDULILLAH, peneroka Felda dapat balik hasil penat lelah, peluh dan air mata mereka apabila Perdana Menteri, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak umum Insentif Raya RM500 satu keluarga semalam.

Selain itu, Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) yang sedang dilanda krisis kepemimpinan akan beri “dividen” RM280 kepada setiap peneroka.

Pembayaran insentif babitkan peruntukan RM47.28 juta manakala “dividen” berjumlah RM26.4 juta. Seramai 94,555 orang peneroka akan dapat dua bayaran itu.

 
Insentif Raya menjelang pilihan raya

Pemberian lain daripada penat lelah peneroka Felda dan duit pembayar cukai yang Najib umumkan adalah:

# Pemberian sagu hati, RM500 kepada imam, RM400 kepada pengerusi masjid, RM300 kepada bilal dan RM200 kepada siak yang jumlah besarnya RM674,400 manakala bagi “surau utama” imam akan dapat sagu hati RM500 dan bilal RM300.

#Insentif khas di antara 10 hingga 30 peratus daripada gaji pokok kepada 3,625 kakitangan Felda bulan ini.

# Insentif tambahan sebanyak 10 peratus daripada gaji pokok kepada petugas barisan hadapan iaitu kakitangan rancangan.

#Empat rancangan Felda dalam kawasan Parlimen Tenggara iaitu Bukit Ramon dibagi peruntukan RM1.35 juta, Pasir Raja (RM700,00), Sungai Sayong (RM2.2 juta) dan Bukit Besar (RM2.2 juta) untuk bina jalan 13.7 kilometer.

Berucap di majlis Sambutan Ihya’ Rahmat Ramadan Felda peringkat kebangsaan di Felda Sungai Sayong, Kulai, Johor Najib berkata: “Bayaran insentif Hari Raya ini, saya mahu jelaskan, kita akan bayar kepada semua yang berurusan dengan Felda sahaja…yang tidak berurusan, hendak saman Felda, minta maaflah…tidak termasuk.”

Maksudnya ada peneroka dan anak pinak mereka yang tak dapat, iaitu mereka yang tidak berurusan (dengan Felda) dan yang hendak saman Felda.

Hakikatnya, insentif yang Najib umumkan itu ditanggung sendiri oleh peneroka dan oleh pembayar cukai. Namun ia akan meringankan sikit beban peneroka yang rata-rata berhutang besar dengan Felda.

 
Beban hutang luar biasa peneroka

Ada yang sampai RM100,000 atau lebih sedangkan usia mereka sudah lanjut dan hasil ladang tidak banyak mana. Peneroka berhutang hampir RM5 bilion kepada Felda setakat bulan Disember 2015.

Ini termasuklah pinjaman membeli saham FGV yang jatuh merudum, dana pembukaan tanah, tanam semula, pendidikan tinggi, beli komputer, insentif usahawan dan ubah suai rumah.

Ditambat Dengan Hutang

Ada sesuatu yang sangat tidak kena dengan Felda.

Apabila Almarhum Tun Abdul Razak Hussein wujudkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (LKTP/Felda), tujuannya adalah untuk hapuskan kemiskinan, keberhutangan (indebtedness) dan cengkaman tuan tanah, ceti dan orang tengah ke atas petani miskin.

Sekarang petani miskin sudah jadi peneroka. Mereka ada tanah dan terlepas daripada cengkaman kemiskinan. Tapi mereka terus berhutang. Malah hutang mereka lebih besar. Kalau dulu mereka berhutang kepada ceti, sekarang mereka berhutang kepada Felda.

Sama ada disengajakan atau kebetulan, sistem hutang dalam Felda menjadikan peneroka “hamba” kepada Felda dan  kerajaan.

Keadaan ini dieksploitasi oleh Umno/BN untuk memeras ugut peneroka supaya mengundinya.

Lingkaran ganas (vicious cycle) ini akan pecah hanyalah jika peneroka berani membebaskan diri daripada belenggu hegemoni Umno/BN.