INILAH ULAMA YANG ADIL DAN SEIMBANG….

Berbanding Mufti Perak, Harussani Zakaria, Mufti Pahang, Dr Abdul Rahman Osman atau Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr. Asyraf Wajdi Dasuki, kenyataan oleh Timbalan Mufti Kedah, Sheikh Marwazi  Dziyauddin berhubung dana haji dan kaitannya dengan amalan yang mabrur di sisi Tuhan, terlihat lebih adil, seimbang dan boleh diterima ramai.
Dalam penjelasannya berhubung bidasan Tun Mahathir Mohamad bahawa mereka yang ditaja hajinya melalui dana 1MDB mungkin kurang mabrur, Sheikh Marwazi berkata, antara asas utama dalam ibadah haji ialah mesti bersumberkan dana yang halal kerana jika sumber dananya tidak halal, dikhuatiri amalan rukun Islam kelima itu tidak diterima oleh Tuhan.
Kata beliau, sekiranya wang daripada dana 1MDB  merupakan pelaburan yang patuh syariah, ibadah bagi orang yang melaksanakan haji akan diterima oleh Allah.
“Memang kita dituntut dan diwajibkan melaksanakan ibadah dengan menggunakan harta yang halal dan bersih.
“Kalau dalam masalah 1MDB, saya tak pasti duit itu macam mana. Kalau duitnya duit pelaburan dan patuh syariah seperti pelaburan-pelaburan lain, mudah-mudahan kita berharap kerja haji itu akan diterima.
“Tetapi, kalau sumber kewangannya tidak halal, sudah tentu Allah akan tolak. Jadi, sumber halal atau tidak 1MDB itu, kita tak tahu,” tegasnya lagi.
Sejuk hati apabila masih ada ulama yang seperti ini. Rasa selamat dan sejuk dunia dibuatnya.
Berbanding hujah Harussani yang mengatakan Tun Mahathir bukan Tuhan, Dr Abdul Rahman juga memberitahu perkara itu adalah hanya urusan Tuhan, sementara Dr Asyraf Wajdi menempelak bekas Perdana Menteri itu yang dianggapnya berlagak seperti Tuhan, pandangan Sheikh Marwazi ternyata lebih rasional.
Cuma, halalkah sumber dana 1MDB itu sedangkan kita semua sudah didedahkan macam-macam hal melalui media mengenai pelaburan dan bagaimana dananya diperolehi sebelum ini?
Sebab itu, Tabung Haji yang menguruskan ibadah haji sentiasa dipastikan melakukan pelaburan yang benar-benar halal dan suci serta ada jawatankuasa syariah yang memandu dan memantaunya.
Bayangkan, adakah umat Islam negara ini, termasuk pemimpin-pemimpin UMNO dan mufti,  sedia menyimpan dan pergi haji melalui Tabung Haji jika diketahui ada unsur-unsur tidak halal dan meragukan dalam simpanan, pelaburan dan pengurusan kewangannya?
Lagi pula, syarat haji ialah mampu dan bukan menjadi kewajipan kerajaan untuk menjadikan rakyatnya bergelar haji melalui tajaan percuma jika mereka sendiri masih belum berkemampuan.
Tanggungjawab kerajaan kepada rakyat ialah mengurus dan memperbaiki kehidupan seperti perumahan, pendidikan, perubatan, keperluan asas dan seribu satu perkara lain yang sentiasa memerlukan penambahbaikan daripada semasa ke semasa.
Mengapa menghantar orang ke Mekah yang menjadi keutamaan Najib Razak?
Akhirnya, semoga Sheikh Marwazi terus berani bercakap benar dan tidak seperti ulama-ulama lain yang berpilih-pilih bila mahu bersuara dan bila pula lebih selesa hanya mendiamkan diri.

Harapnya juga agar Sheikh Marwazi tidak tersekat kedudukannya atau tiba-tiba terhalang daripada memegang jawatan yang lebih tinggi selepas ini.

– http://shahbudindotcom.blogspot.com/

.