INIKAH KONSEP RAKYAT DIDAHULUKAN, PENCAPAIAN DIUTAMAKAN VERSI NAJIB?

PM Najib telah mengumumkan pemberian dekoder percuma kepada 4.2 juta penerima BR1M. Pemberian dan pengunaan dekoder ini adalah sebahagian dari projek peralihan sistem penyiaran dari analog kepada digital.

Harga dekoder tersebut ialah sebanyak RM199. Persoalannya apakah pemberian dekoder percuma dengan kos yang besar boleh membantu menyelesaikan hidup rakyat khususnya 4.2 juta penerima BR1M?

Rakyat kini tertekan dengan kenaikan kos sara hidup akibat dari harga barang keperluan meningkat naik angkara GST, tetapi kerajaan UmnoBN seperti langsung tidak menghiraukan penderitaaan rakyat.

Pemberian BR1M sebanyak RM1200 setahun atau RM3.28 sehari tidak pun dapat merubah kehidupan rakyat yang makin terbeban, inikan pula dekoder yang tidak boleh menjadi juadah berbuka puasa serta penerima BR1M terpaksa juga menanggung kos pemasangan dengan harga RM180.

Perbelanjaan dekoder percuma yang diberi kerajaan berdasarkan harga RM199 X 4.2 juta bersamaan RM834 juta. Satu angka yang sangat besar tetapi tidak membantu penerima BR1M keluar dari bebanan hidup yang menghimpit kehidupan mereka sekeluarga.

Jika Malaysia mempunyai PM yang bijak berfikir untuk rakyat sudah tentu dengan RM834 juta itu, Malaysia boleh mendapatkan 18,533 mesin dialisis bagi membantu pesakit buah pinggang yang memerlukan.

Dengan RM834 juta juga Malaysia boleh membiayai pembinaan 27,800 buah rumah bagi orang miskin yang tiada rumah dengan harga RM30 ribu sebuah atau memberi bantuan RM10 ribu sebuah bagi membaiki 83,400 buah rumah daif di luar bandar.

Kerajaan juga sepatutnya memilih menggunakan wang RM834 juta itu untuk membantu pembiayaan pendidikan kepada pelajar IPT dari keluarga miskin dan berpendapatan rendah supaya mereka tidak terus terbeban dengan hutang.

Malang untuk Malaysia kerana memiliki PM umpama musang yang akan menghabiskan ayam satu ‘lau’ (reban) dan menteri dari ‘parti kitchen kebinet’ (UmnoBn) yang ‘berotak selut dan belemoih dengan korupsi’.

Rakyat pun rasa pelik apabila lain yang diminta dan diharapkan oleh rakyat lain pula yang diberikan oleh kerajaan.

Dato’ Hj Mahfuz Hj Omar
Ahli Parlimen Pokok Sena.
Ulasan Blog – Siapa kroni yang dapat projek RM834 juta untuk membekalkan dekoder itu?

Inikah rupa bentuk konsep rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan yang selalu dibanggakan oleh Najib Razak?

Mengapa lain yang rakyat harapkan dalam keadaan kos sara hidup terus meningkat ini, tetapi benda lain yang diberikannya?

Siapa pernah pergi ke Pekan, kawasan Parlimen Najib?

Tak usah lihat rumah-rumah di kawasan perkampungan nelayan yang tersorok daripada pandangan umum, lihat saja keadaan rumah di tepi-tepi jalan menuju ke bandar Pekan itu sendiri, bagaimana keadaannya?

Kalau pun Najib tidak mahu membantu kawasan-kawasan yang diwakili pembangkang, kenapa beliau tidak menggunakan sebahagian peruntukan RM834 juta itu untuk membantu rumah-rumah yang banyak uzur di tepi-tepi jalan di sekitar Pekan, kawasan yang diwakilinya sendiri sejak puluhan tahun lamanya?

Benar-benar gembirakah pengundi Pekan yang tinggal di rumah yang uzur itu dengan hanya diberikan sebuah dekoder, sedangkan kemiskinan mereka akan jadi tontonan yang lebih nyata dalam paparan televisyen digital nanti?

– http://shahbudindotcom.blogspot.my

.