‘INI SALAHGUNA JET KERAJAAN, BUKAN ISU BERSAMA KELUARGA’

Kontroversi mengenai percutian keluarga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini bukan mengenai percutiannya, tetapi jet kerajaan yang dikesan di beberapa lokasi di mana keluarganya bercuti, Ketua Pemuda DAP Wong Kah Woh.

Beliau mengulas kenyataan pembantu kepada isteri perdana menteri, Datuk Rizal Mansor, yang berkata PM berhak menghabiskan masa berkualiti bersama keluarganya.

“Rizal Mansor terlepas sesuatu yang amat penting dalam isu ini, iaitu sama ada terdapat sebarang salah guna kuasa oleh Perdana Menteri Najib yang terbang dengan keluarga ke seluruh dunia menggunakan jet kerajaan dan bukan untuk tujuan rasmi,” kata Wong dalam kenyataan.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan jet kerajaan 9M-NAA itu dikesan terbang merentasi Australia ketika keluarga Najib bercuti di sana, berdasarkan gambar yang dimuat naik di media sosial oleh anaknya, Norashman.

Menjawab perkara itu Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata Najib berhak menggunakan jet untuk tujuan peribadi.

Bagaimanapun, Wong berkata Nur Jazlan gagal menunjukkan sebarang dokumen mengenai hak dan kelayakan Najib menggunakan pesawat tersebut.

Selepas laporan Malaysiakini berdasarkan data dari laman web pengesanan penerbangan flightaware.com, maklumat mengenai jet kerajaan titu dibuang daripada laman web berkenaan yang dikatakan atas permintaan pemilik jet.

Data penerbangan itu juga tidak ada di laman web pengesanan penerbangan popular, Flightradar24.

– http://www.malaysiakini.com/

.