INI MASA SESUAI KAJI DASAR MONETARI ISLAM

SHAH ALAM – Pemuda Pas berpendapat ini adalah masa sesuai bagi Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengkaji dan mengemukakan kerangka Dasar Monetari Islam yang lebih komprehensif.

Pengarah Strategi Pemuda Pas, Syahir Sulaiman berkata, ia berikutan kebimbangan awam berkaitan kejatuhan nilai Ringgit dalam situasi terbaru ketidaktentuan pasaran global yang berpunca daripada pasca keputusan pilihanraya di Amerika Syarikat.

Kelmarin, BNM mengingatkan semua pihak supaya mematuhi peraturan Pentadbiran Pertukaran Asing sedia ada (Foreign Exchange Administration) dan menghindari daripada terlibat dalam urus niaga yang boleh dikaitkan dengan aktiviti spekulatif di pasaran luar pesisir.

Menurutnya, kajian mengenai kerangka dasar tersebut mesti meliputi beberapa aspek khususnya memobilisasi simpanan, menghapuskan riba’, pembiayaan ekuiti, dan mata wang bersandarkan emas.

Jelasnya, ianya merupakan penyelesaian dimensi baharu dalam konteks ekonomi semasa masa kini.

“Dalam masa sama, kami ingin menyarankan pihak Menteri Kewangan yang bertanggungjawab terhadap Dasar Fiskal untuk mengambil langkah-langkah proaktif bagi mewujudkan suasana ekonomi yang kondusif kepada rakyat khususnya dalam aspek percukaian dan subsidi.

“Hal ini sudah sering dibangkitkan dalam sesi perbahasan Bajet 2017 di Dewan Rakyat, Parlimen,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Ketua Pemuda Pas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menyeru rakyat memberi sepenuh keyakinan kepada BNM dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dalam menguruskan ketidaktentuan pasaran kewangan pasca Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS).

Nik Abduh berkata, pihaknya menyedari ketidaktentuan pasaran kewangan global selepas pilihan raya Presiden AS minggu lalu dan percaya bahawa Gabenor BNM, Datuk Muhammad Ibrahim serta Pengerusi SC, Tan Sri Ranjit Ajit Singh sedang berusaha sebaik mungkin untuk menstabilkan pasaran kewangan negara.

SINAR HARIAN

.