‘Ini bukan cubaan, ini betul-betul!’

“Bukan cubaan, tapi betul-betul!” kata Kusaini Kassim, lelaki berbaju kuning mangsa tendangan terbang penyokong baju merah di Sabak Bernam pada Sabtu lalu.

Bercakap kepada Malaysiakini Kusaini berkata tidak ada alasan untuknya berlakon diserang kumpulan baju merah pada perarakan konvoi BERSIH 5 iu.

“Nak berlakon macam mana? Saya memang nak balik dan saya memang kena lalu jalan tersebut.

“Ini bukan cubaan, ini betul-betul,” katanya seolah-olah mengulangi dialog popular dalam filem komedi allahyarham Tan Sri P Ramlee, Pendekat Bujang Lapok.

Pada kejadian Sabtu lalu Kusaini, 49, yang menunggang motosikal dilihat ditendang penyokong kumpulan baju merah dipimpin Ketua Umno Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos.

Kusaini yang berbaju merah dan bertopi keledar terjatuh namun tidak melawan walaupun beberapa orang melemparkan telur ke arahnya.

Semalam Kusaini yang menceritakan pengalamannya kepada Malaysiakini bersyukur kerana segera diselamatkan oleh anggota polis trafik.

Konvoi itu sedang menjalankan kempen mengajak orang ramai hadir ke Kuala Lumpur pada 19 November ini sempena BERSIH 5.

Bagaimanapun di media sosial beredar gambar didakwa Kusaini yang dituduh sengaja berlakon pada hari kejadian.

Antara yang disebarkan ialah gambar Kusaini bergaya dengan pakaian seragam seperti pasukan keselamatan bersama motosikal.

Dia juga dikaitkan dengan sebuah pertubuhan Melayu yang dikenali ramai.

Mengulas perkara itu, Kusaini menafikan dia berkhidmat sebagai anggota pasukan keselamatan, sebaliknya mengenakan pakaian itu atas dasar “suka-suka”.
“Bukan, itu (gambar pakaian seragam seperti polis) ada kawan ajak bergambar pakai baju dia, dan dia pun ada cakap jangan buat macam-macam dengan gambar tersebut. Saya saja nak berlagak (action),” kata Kusaini.

Selain itu, Kusaini juga mengesahkan beliau ada menyertai salah satu pertubuhan di negara ini tetapi bukan melibatkan baju merah.

“Saya ada masuk persatuan tapi ia bukan yang berkaitan dengan baju merah,” kata Kusaini.

– http://www.malaysiakini.com/

.