Ingatkan diculik, rupanya dengan lelaki lain

ROME – ITALI. Seorang ahli perniagaan Itali yang menyangka isterinya yang juga seorang model diculik namun kecewa selepas mendapati perkara sebenar melalui Instagram.

Gianluca Cervara membuat laporan polis kerana bimbang isterinya yang juga bekas Miss Ukraine, Anna Zaiachkivska diculik.

Namun, sangkaannya meleset selepas dia melihat foto yang dimuatnaik di laman sosial wanita itu bersama lelaki lain dengan kapsyen tertulis ‘kebebasan’ hanya beberapa bulan selepas berkahwin.

Susulan tindakan wanita itu, jutawan itu mengemukan saman terhadap Zaiachkivska kerana melanggar perjanjian dan didakwa mencuri £5000 (RM27,421) dan sebuah telefon bimbit dari rumahnya.

Sementara itu, Zaiachkivska mendakwa dia melarikan diri kerana suaminya ‘mengangkat tangan’ terhadapnya dan bahawa dia tidak dapat hidup dalam ‘sangkar emas’.

Model berusia 24 tahun itu juga berang selepas Cervara tidak memberi perhatian sepenuhnya terhadapnya ketika dia ‘sakit kepala selama seminggu’.

“Kali pertama apabila dia melakukannya saya lari ke rumah ibu bapa saya di barat Ukraine, Ivano-Frankivsk. Saya tidak memberitahu mereka apa yang telah berlaku.

“Dia datang untuk memujuk saya semula dan memberikan peluang kedua, tetapi semasa pertengkaran, dia meludah di muka saya yang menyebabkan saya tidak tahan lagi,” ujarnya dipetik Mirror.uk. – Sinar harian

.