IMAMS: ZAHID HIDU SESUATU YANG TAK ENAK

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pembatalan pelaksanaan sistem Pemantauan Manasik Bersepadu (IMAMS) bukan bersifat politik.

Namun timbalan perdana menteri itu mengakui beliau “terhidu” sesuatu yang tidak enak apabila ia dilihat mengambil peluang ke atas seseorang yang ingin mengerjakan umrah.

Katanya IMAMS dibatalkan selepas wujud protes daripada banyak pihak.

“Saya tak fikir ada unsur politik dalam perkara ini.

“Tapi saya menghidu bau yang tidak enak jika ada yang mengambil peluang terutama apabila CEO (ketua pegawai eksekutif) yang tidak pernah mengerjakan umrah untuk menjadi CEO,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Persatuan Mencegah Dadah Kebangsaan (PEMADAM) ke-42 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur hari ini.

Ahmad Zahid ditanya sama ada pelaksanaan IMAMS – yang dibatalkan sehari selepas ia diumumkan – ada dibincangkan dalam kabinet.

Bukan kerana PRU

IMAMS asalnya diwajibkan dalam proses permohonan visa umrah, dan 65 agensi pelancongan berstatus muassasah yang mempunyai Lesen Khas Umrah (LKU) diwajibkan menggunakannya.

Melalui sistem itu, mereka yang ingin menunaikan umrah dikenakan caj berjumlah RM90.10. Imams Sdn Bhd merupakan syarikat yang dilantik untuk melaksanakannya.

Kenyataan Ahmad Zahid itu dibuat merujuk kepada syarikat pengendali operasi berkenaan yang diketuai oleh orang bukan Islam.

Sementara itu Ahmad Zahid Hamidi berkata kabinet memang berbincang untuk menangani isu penipuan pakej umrah tetapi langsung tidak menyentuh pelantikan syarikat swasta bagi tujuan pemantauan.

“Kabinet dimaklumkan (soal pencegahan penipuan) tetapi tidak melalui sistem IMAMS.

“(Apa yang dibincangkan) syarikat pengendalian umrah didaftarkan dan peraturan tertentu dikenakan serta pemantauan.

“Ia tidak langsung membabitkan pelantikan mana-mana syarikat yang mengendalikan sistem pemantauan,” katanya.

Sebelum ini Naib Presiden PAS Idris Ahmad menyatakan harapan agar pembatalan terbabit akan kekal dan sementara kerana pilihan raya umum (PRU) ke-14 yang bakal menjelang.

Kata Ahmad Zahid protes terhadap IMAMS itu datang daripada pelbagai pihak termasuk syarikat pengendali umrah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pemuda Umno dan golongan agama.

– M’kini

.