IMAMS: ‘NAJIB JANGAN LARI DARI TANGGUNGJAWAB’

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga patut memikul tanggungjawab terhadap sistem Pemantauan Manasik Bersepadu (IMAMS) yang dibatalkan hanya sehari selepas pengumumannya, kata ahli akademik Abdul Aziz Bari.

Beliau berkata, Najib tidak boleh memisahkan dirinya dengan isu tersebut yang telah “mengaibkan pentadbirannya”.

“Sebagai perdana menteri, beliau perlu mengambil tanggungjawab walaupun mungkin tidak tahu atau tidak terlibat dengannya. Ini adalah asas sistem kerajaan berparlimen.

“Sama seperti Dr Mahathir Mohamad yang menjadi perdana menteri ketika Operasi Lalang pada 1987; salah baginya untuk mengalihkan tanggungjawab kepada polis,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata, ini kerana perdana menteri menjadi kata putus dalam setiap keputusan kerajaan.

Najib menerusi Twitter semalam menyatakan tidak bersetuju dengan IMAMS dan berkata pembatalan program itu adalah keputusan yang tepat.

Perkara itu diumumkan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Rashidi Hasbullah selepas mengambil kira aduan orang ramai dan pihak dalam industri.

Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Mas Ermieyati Samsuddin pula berkata beliau tidak tahu-menahu tentang penglibatan orang bukan Islam sebagai pegawai eksekutif – antara isu yang dibangkitkan – dalam syarikat pelaksana sistem itu.

Abdul Aziz berkata, Mas Ermieyati juga perlu mengambil tanggungjawab kerana menjadi “sebahagian dalam pasukan bersama-sama menteri pelancongan” yang mewujudkan sistem itu pada mulanya.

“Inilah yang dimaksudkan dengan tanggungjawab individu seorang menteri,” katanya lagi.

IMAMS pada mulanya mahu diwajibkan dalam proses permohonan visa umrah, dan 65 agensi pelancongan berstatus muassasah yang mempunyai Lesen Khas Umrah (LKU) diwajibkan menggunakannya.

Ia dilaporkan bertujuan membanteras penipuan pakej umrah.

Sistem itu melibatkan caj berjumlah RM90.10 setiap individu, dengan RM45 untuk caj penggunaan IMAMS, RM40 untuk insurans takaful umrah dan RM5.10 untuk GST.

– M’kini

.