IMAMS: KERAJAAN JANGAN U-TURN

SHAH ALAM – Kerajaan diharap tidak melakukan pusingan U dengan melaksanakan semula Sistem Pemantauan Manasik Bersepadu (Imams).

Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan berkata, pengumuman membatalkan Imams juga diharap bukan gimik politik bagi meleraikan bantahan ramai pihak.

“Malah, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (KPK) wajar mempertimbangkan langkah yang lebih berobjektif dan tidak sewenang-wenangnya membebankan pihak lain dalam mendepani kemelut melanda,” katanya dalam satu kenyataan.

Nasrudin berkata, sebarang langkah bagi membasmi kes-kes penipuan pakej umrah ketika ini adalah sangat wajar dilaksanakan dan disokong.

Bagaimanapun katanya, keputusan KPK memperkenalkan Imams sebelum ini masih kabur dan perlu dikaji semula.

“Kewujudan Imams bukan sahaja berkait dengan caj tambahan termasuk pembayaran cukai barang dan perkhidmatan (GST), malah keperluan agensi one-stop centre seperti Imams seolah-olah menyebabkan berlaku pertindihan jawatan kuasa dalam mengurus serta mengawal selia pengurusan umrah di negara ini.

“Apatah lagi KPK telah memperkenalkan Lesen Khas Umrah (LKU) serta penglibatan Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU) yang merangkumi 13 agensi utama termasuklah Tabung Haji, Polis Diraja Malaysia (PDRM), syarikat penerbangan Malaysia, Matta dan Jawhar.

“Maka, mengoptimumkan peranan MKSU serta LKU dilihat sudah memadai menangani kes-kes penipuan tersebut,” katanya.

–¬†www.sinarharian.com.my

.