IMAMS: CARA CARI UNTUNG DAN KUTIP GST

DENGAN takdir – Insya Allah – Pakatan Harapan (PH) menang pilihan raya umum (PRU) akan datang, ia mempunyai banyak contoh yang tidak boleh diteladani daripada Barisan Nasional iaitu cara peras dan curi duit rakyat jelata.

 
Pardana Menteri Tak Setuju Keputusan Kerajaan

Jelaslah sekarang bahawa Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) adalah tidak lebih daripada cara mengumpul hasil untuk kerajaan dan bukan untuk kebajikan rakyat jelata.

(Pakatan Harapan (PH) telah berjanji menggantikan GST dengan cukai lain yang tidak terlalu membebankan rakyat jelata dan pengguna.)

[Komen “Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]

Pentadbiran (I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak telah membuktikan sekali lagi kepada kita bahawa GST bukan sekadar alat fiskal (fiscal tool) tetapi adalah mesin untuk menjana keuntungan.

Maka tidak hairanlah kalau seorang pengarang kanan sebuah akhbar milik Umno begitu kecewa dengan Integrated Manasik Monitoring System (Imams) yang melibatkan GST sehingga menggelarnya “daylight robbery” (rompakan siang hari) dalam tampalan Facebook beliau.

 
Rompakan siang hari, kata pengarang MAP

Jelas bahawa Najib sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan tidak lagi peduli kepada penderitaan rakyat jelata. Keutamaan beliau adalah memungut sebanyak mungkin hasil (revenue) melalui GST.

Sejak dikuatkuasakan pada April 2015, beliau dianggarkan telah mengutip lebih RM100 bilion.

Pelaksanaan Sistem Pemantauan Manasik Bersepadu Umrah (Imams) itu dibatalkan hampir serta-merta setelah mendapat protes besar-besaran daripada warga media sosial.

Di sebalik alasan memantau dan mengelakkan penyelewengan urusan Umrah oleh penganjur swasta, sistem itu adalah untuk membuat keuntungan dan mengutip GST.

Secara langsung ia menyerlahkan dua unsur (element) penting yang mempengaruhi dasar kewangan Najib iaitu keuntungan untuk swasta dan cukai untuk kerajaan.

Jelas bahawa Najib dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan (Datuk Seri) Mohamed Nazri Abdul Aziz, mengakui ada unsur mencurigakan (sinister) dalam pelaksanaan Imams yang tidak dapat dipertahankan dalam perbahasan media sosial.

Jadi cara terbaik adalah membatalkannya sementara seperti yang dilakukan ke atas Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) lalu lintas. Apabila rakyat jelata leka ia dilaksanakan semula. Sementara itu pencadang sistem akan diberi pampasan kerana di belakang tabir mungkin sudah ada kira bicara.

Oleh sebab mereka beranggapan rakyat jelata boleh dibohongi maka mereka pun berbohonglah. Najib kata pembatalan Imams tepat. Nazri kata pegawai salah faham arahan dia. Timbalan Manteri, (Datuk Wira) Mas Ermieyati binti Samsudin, kata dia tak tahu apa-apa.

Mangsa Politik

Yang nampaknya terpaksa jadi pak sanggup dan kambing korban adalah pegawai kerajaan. Mereka sudah pun dituduh tidak faham arahan menteri.

Yang diperbodohkan pula adalah orang penting dalam sistem propaganda kerajaan iaitu laskar siber dan media arus perdana (MAP) Umno/BN.

Laskar siber dan wartawan MAP yang bermati-matian mempertahankan sistem itu kemudiannya terpaksa menelan ludah mereka sendiri apabila ia dibatalkan.

Kecelakaan yang menimpa laskar siber Umno dan MAP dalam kes Imams ini adalah jawapan mutakhir kepada persoalan yang ditimbulkan oleh Timbalan Perdana Menteri, (Datuk Seri Dr) Ahmad Zahid Hamidi, mengapa penggiat media sosial pro-PH dan anti-BN lebih berkesan dan diyakini daripada laskar siber Umno/BN.

Penggiat media sosial pro-PH dan anti-BN lebih diyakini bukan kerana mereka mendapat latihan luar negara seperti Zahid dakwa tetapi kerana laskar siber Umno/BN serta MAP ditembak kakinya oleh bapak-bapak kepala Umno dan BN sendiri.

Mereka tembak “messenger” mereka sendiri.

Macam mana laskar siber dan wartawan MAP hendak diyakini kalau sebelah pagi macam ayam jantan baru baligh sokong Imams tetapi sebelah petang macam ayam mabuk ubi gadung sokong pembatalannya?

Seperkara lagi yang membezakan laskar siber Umno/BN daripada penggiat media sosial pembangkang ialah majoriti laskar siber Umno/BN diupah manakala majoriti penggiat media sosial pembangkang adalah sukarelawan.

Tambah parah bagi Umno/BN adalah hakikat bahawa sebahagian laskar sibernya terus berperang di antara satu sama lain walaupun sudah diherdik “bangang” oleh Najib pada Perhimpunan Agung Umno 2014.

Siakap senohong gelama ikan duri.

Cakap bohong lama-lama jadi kleptokrasi.

– http://kadirjasin.blogspot.my

.