ILMUAN ISLAM AKAN TERUS KEMPEN SANGGAH PEMIKIRAN SEMPIT AGAMA

BIARPUN berdepan hukuman denda dan penjara, Dr Ahmad Farouk Musa sedikit pun tidak terganggu dan kumpulan pemikir yang diketuainya bertekad akan meneruskan usaha menyanggah tafsiran sempit mengenai Islam di negara ini.

Pengasas dan pengerusi Islamic Renaissance Front (IRF) itu percaya siasatan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) terhadapnya cacat.

“Saya tidak terganggu dan kami akan terus menganjurkan program pada masa akan datang. Saya yang pilih jalan berliku ini tetapi selagi saya percaya apa yang buat ini betul, saya akan terus melakukannya,” kata pakar bedah jantung yang menjadi aktivis ini.

“Saya percaya kata-kata dan idea boleh mengubah dunia,” katanya, memetik dialog daripada filem terkenal ‘Dead Poets Society’.

Dr Ahmad Farouk pada 25 September lepas dimaklumkan oleh Jawi beliau disiasat kerana melanggar Seksyen 43 Akta Kesalahan Jenayah (Wilayah Persekutuan) 1997.

Peruntukan itu berkenaan bersubahat dengan seseorang yang mengajar Islam tanpa tauliah. Sekiranya didapati bersalah, beliau boleh dijatuhkan hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda RM5,000, atau kedua-duanya.

Jawi menyiasat kemungkinan ada pelanggaran undang-undang selepas IRF menganjurkan forum mengenai murtad yang menampilkan penulis terkenal Turki, Mustafa Akyol. Mustafa diambil keterangannya oleh Jawi pada Selasa lepas dan kemudian dibebaskan.

Dalam tulisannya yang keras di The New York Times sebaik pulang ke Amerika Syarikat (AS) semalam, Mustafa berkata usaha pihak berkuasa agama di Malaysia kononnya mahu melindungi Islam sebaliknya menyebabkan masyarakat tidak menghormati mereka.

“Dengan mengawal agama, pihak berkuasa sebenarnya bukan melindungi agama.

“Mereka hanya melemahkan masyarakat, menumbuhkan kemunafikan dan menyebabkan banyak orang hilang percaya atau hormat kepada Islam,” katanya dalam tulisan itu.

Ini adalah kali pertama IRF disiasat mengikut peruntukan tersebut biarpun sudah beberapa kali menganjurkan diskusi seumpamanya sejak ia diasaskan lapan tahun lalu.

Jawi tidak pernah menyiasat mana-mana acara yang dianjurkan sebelum ini atas dakwaan melanggar undang-undang bersabit pentauliahan, kata Dr Ahmad Farouk.

“Program kami adalah diskusi intelektual dan akademik. Kami bukannya menganjurkan kelas mengajar agama,” katanya, dan menambah konsep “tauliah” lebih terpakai bagi kes yang satu lagi itu.

Peguam dan ahli akademik juga bersependapat dalam hal yang sama tentang peruntukan undang-undang syariah itu.

“Mereka malah menyoal Mustafa kenapa beliau membaca ayat al-Quran dalam ceramahnya. Kenapa jadi salah bagi seorang Islam membaca ayat al-Quran dalam syarahan umumnya?

“Kalau begitulah ceritanya, bagaimana dengan ahli politik yang buat benda yang sama?”

Kalau pertuduhan terhadap Mustafa boleh dianggap salah, Dr Ahmad Farouk berhujah pertuduhan terhadapnya juga (bersubahat dengan Mustafa) sama cacat.

“Ini jadi asas untuk saya menjawab Jawi apabila memberi keterangan pada Isnin (2 Oktober).”

Monopoli agama

IRF adalah antara segelintir kumpulan Islam yang mencabar fahaman ortodoks Islam di Malaysia yang dianjurkan oleh pihak berkuasa agama, ahli politik dan sejumlah institusi pendidikan awam dan swasta.

Forum anjuran IRF menampilkan pakar-pakar Islam yang selalu mengetengahkan idea Islam yang berbeza dengan tafsiran rasmi dan arus perdana. Dr Ahmad Farouk percaya inilah sebabnya kenapa beliau kini disiasat.

“Berdasarkan apa yang diberitahu kepada saya oleh pegawai Jawi, saya percaya seluruh insiden ini ialah satu cara untuk mereka menunjuk kuasa. Ia muncul ketika mereka menyiasat seorang lagi ilmuan, Mun’im Sirry.”

Mun’im, yang menetap di AS, merupakan antara jemputan forum IRF mengenai kesederhanaan dalam al-Quran yang turut menampilkan Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bulan lalu menuduh Mun’im membawa kepercayaan sesat ke negara ini.

Sama seperti Mustafa, Mun’im menyuarakan idea yang berbeza dengan pendirian yang diterima oleh penguasa agama di Malaysia sebagai Islam yang rasmi, kata Dr Ahmad Farouk.

Dalam syarahannya, Mustafa meneroka idea bahawa orang Islam sepatutnya diberi kelonggaran, dan bukan dihukum, kerana meninggalkan agama — pandangan yang disokong oleh sesetengah cendekiawan Islam.

Mun’im memetik kata-kata seorang lagi ilmuan yang mengatakan Arab pada era sebelum Islam tidaklah sejahiliah seperti yang difikirkan selama ini.

“Tampaknya pihak berkuasa agama orang orang ramai takut untuk berfikir dan menimbang idea baru. Sebarang idea baru dilihat sebagai mencabar pemahaman Islam mereka. Ini monopoli wacana Islam di negara ini,” tambah Dr Ahmad Farouk.

– https://www.themalaysianinsight.com

.