IGP SANGKAL DAKWAAN KIM CHOL MENINGGAL KERANA SERANGAN JANTUNG

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menyangkal dakwaan oleh Korea Utara bahawa Kim Chol kemungkinan meninggal dunia kerana serangan jantung.

Khalid kata pakar Malaysia telah pun mengesahkan bahawa Kim Chol mati selepas dua wanita tiba-tiba menghampirinya dan menyapu mukanya dengan tapak tangan mereka yang disembur dengan cecair beracun yang kemudian dikenal pasti sebagai agen saraf VX.

“Kita mempunyai pakar-pakar yang berkelayakan untuk menentukan punca kematian Kim Chol. Siasatan kita dan disokong oleh laporan pakar mengesahkan bahawa Kim Chol dibunuh. Korea Utara boleh menyatakan apa yang mereka suka tetapi fakta itu kekal,” kata beliau ketika dihubungi oleh Bernama News Channel malam tadi.

Khalid berkata demikian susulan dakwaan oleh jurucakap rasmi kedutaan Korea Utara Ri Tong-il semasa sidang media hari ini bahawa Kim Chol meninggal dunia akibat serangan jantung dan bukan diracun.

Sementara itu, Khalid berkata tidak perlu untuk menyerahkan sampel bahan kimia yang digunakan dalam pembunuhan itu kepada Organization for the Prohibition of Chemical Weapons (OPCW).

Kim Chol mati pada 13 Februari selepas dua wanita menyapu mukanya dengan cecair beracun di klia2 semasa menunggu untuk menaiki penetrbangabn ke Macau.

Sementara itu, Korea Utara mempertahankan pendiriannya bahawa warganegaranya, Kim Chol, meninggal dunia kerana serangan jantung dan bukan diracun seperti didakwa.

Jurucakap rasmi Kedutaan Korea Utara Ri Tong il menolak dakwaan bahawa mangsa mati akibat kesan kepada bahan kimia dikenali Agen Saraf VX sambil menyatakan mangsa tidak mengambil langkah berjaga-jaga walaupun menghadapi masalah kesihatan.

“Mangsa mempunyai rekod masalah jantung dan dari semasa ke semasa dia menerima rawatan ketika dimasukkan ke hospital. Dia tidak boleh mengembara tanpa membawa bersama ubat-ubatan untuk menyembuhkan penyakit jantung.

“Walaupun bedah siasat dijalankan ke atas mayat mangsa untuk mengenal pasti punca kematian, ubat-ubatan berkaitan penyakit jantung ditemukakan bersama barang-barang milik mangsa.

Justeru, ini adalah petunjuk kuat bahawa dia mengalami serangan jantung,” katanya dalam sidang media yang diadakan di kedutaan di sini semalam.

Beliau juga mengenal pasti si mati sebagai Kim Chol dan bukan Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin tertinggi Korea Utara Kim Jong-un.

Bagaimanapun, pada 21 Februari Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata tidak ada bukti mangsa mati disebabkan serangan jantung.

Oleh kerana kerajaan Korea Utara mendakwa bahawa mangsa meninggal dunia akibat serangan jantung, mereka kini menuntut supaya sampel bahan kimia yang digunakan dalam pembunuhan itu diserahkan kepada OCPW.

Pyongyang mendesak penyerahan sampel itu kerana kerajaan Korea Utara mahu OCPW mengesahkan mengenai bahan kimia yang digunakan untuk membunuh mangsa.

Menurut beliau jika makmal antarabangsa membuktikan bahawa bahan itu sememangnya Agen Saraf VX, maka organisasi itu harus mengenal pasti negara yang bertanggungjawab mengeluarkan bahan kimia tersebut.

VX (S2 ethyl diisopropylamino methylphosphonothioate) ialah bahan toksis yang kegunaannya tidak diketahui kecuali dalam senjata kimia.

Kim Chol dilaporkan berada di klia2 pada 13 Februari untuk menaiki penerbangan ke Macau apabila dua wanita tiba-tiba menghampirinya dan menyapu mukanya dengan tapak tangan mereka yang disembur dengan cecair beracun yang kemudian dikenal pasti sebagai agen saraf VX.

Kim Chol dilaporkan meminta bantuan di kaunter khidmat pelanggan di lapangan terbang sebelum dikejarkan ke Hospital Putrajaya tetapi meninggal dunia dalam perjalanan.

Dia tiba di Malaysia pada 6 Februari.
– Bernama

.