IGP SAH BERSARA BULAN DEPAN

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini mengesahkan beliau akan bersara pada bulan depan, selepas 40 tahun berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Portal Berita Harian Online memetiknya sebagai berkata, beliau tidak akan menyambung kontrak perkhidmatannya selepas genap berusia 60 tahun pada 5 September ini.

“Tempoh perkhidmatan saya akan tamat pada usia 60 tahun, 5 September ini.

“Ini keputusan saya sendiri. Sudah sampai masanya saya berehat,” katanya yang dipetik portal itu.

Susulan persaraan itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid dilapor akan mengambil alih tugas Khalid.

Khalid memulakan kerjaya dengan PDRM pada 1976 pada usia 19 tahun. Beliau kemudian memperolehi ijazah sarjana muda undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada tahun 1995.

Beliau pernah menyandang pelbagai jawatan sebelum dilantik sebagai Ketua Polis Negeri Sembilan pada 2005 sebelum dilantik sebagai Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, seterusnya Ketua Polis Selangor pada Jun 2007.

Beliau kemudiannya dilantik sebagai Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman pada 2010 dan selepas itu sebagai Timbalan Ketua Polis Negara pada April 2011 menggantikan Tan Sri Husin Ismail yang bersara wajib.

Pada 17 Mei 2013, Khalid yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan dilantik sebagai Ketua Polis Negara menggantikan Tan Sri Ismail Omar yang tamat tempoh pelantikan secara kontrak.

– M’kini

.