IGP: POLIS AKAN PANGGIL KP SPRM BILA-BILA MASA

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun hari ini mengesahkan bahawa Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Dzulkifli Ahmad akan dipanggil pada “bila-bila masa” berhubung dakwaan hubungan sulit melibatkannya.

Portal Majlis ahli Parlimen BN (BNBBC) hari ini memetiknya sebagai berkata, siasatan lanjut masih dijalankan susulan tindakan Jabatan Peguam Negara yang mengembalikan kertas siasatan berkenaan.

“Kami hantar tiga kali. Kemudian kami perlu siasat balik selepas terima arahan,” katanya.

Ketua polis negara itu, walau bagaimanapun, enggan mengulas lanjut apabila ditanya sama ada polis sudah merekod keterangan daripada Dzulkifli.

Ketua Pesuruhjaya SPRM itu sedang disiasat di bawah Seksyen 498 Kanun Keseksaan atas dakwaan menggoda isteri orang susulan penyebaran tiga video pendek beliau berada di luar negara bersama seorang wanita yang menjadi tular di media sosial.

Rakaman itu mendakwa Dzulkifli terlibat dalam hubungan sulit, sehingga menjadi punca penceraian wanita itu.

Seksyen 498 menyebut memikat atau membawa pergi atau menahan seseorang perempuan yang bersuami dengan tujuan untuk mengadakan hubungan seks adalah satu kesalahan jenayah.

Dzulkifli menyifatkan dakwaan itu sebagai “serangan kotor dan jijik” dan berpunca daripada tindakan agresif SPRM membanteras rasuah.

Menurutnya, usaha memfitnahnya itu perlakuan yang jijik dan kotor serta berkata beliau tidak akan tunduk tetapi berikrar akan terus menjalankan tanggungjawabnya membersihkan negara dari segala gejala rasuah.

Pejabat Peguam Negara juga menubuhkan satu pasukan petugas khas untuk memantau dengan teliti siasatan berhubung dakwaan ketua pesuruhjaya SPRM itu cuba memikat isteri orang.

– M’kini

.