IGP: KETUA POLIS T’GANU TAK BERNIAT JAHAT

Tan Sri Mohamad Fuzi Haron berkata kenyataan Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail, tidak berniat untuk membuat kenyataan perkauman ketika menjelaskan situasi aktiviti gangsterisme di negeri itu.

Kata ketua polis negara beliau mengenali Aidi dan yakin pegawainya itu bukan sengaja mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman ketika ditemu bual Bernama pada 9 Nov lalu.

Menafikan mahu mempertahankan Aidi, Fuzi berkata kenyataan itu dibuat ketika majoriti penduduk Terengganu memang Melayu.

“Secara kebetulan majoriti populasi di Terengganu ialah 95 hingga 97 peratus orang Melayu.

“Saya tidak fikir beliau ada niat (untuk memainkan isu perkauman). Bukan saya nak mempertahankan dia, (dan) saya tak dapat gambaran sebenar apa yang dikatakannya kepada media dua hari lalu,” kata Fuzi pada sidang media di Cheras hari ini.

Terdahulu Fuzi mengadakan lawatan kerja ke Pusat Latihan Unit Tindakan Khas (UTK) Polis Diraja Malaysia.

Kelmarin Aidi dipetik Bernama sebagai berkata tiada sebarang kegiatan gangsterisme di Terengganu dan disahkan hasil tinjauan polis sejak beberapa tahun lalu.

Bukan pantau Terengganu saja

Katanya keadaan itu ada kaitan dengan faktor populasi rakyat Terengganu yang 97 peratus bangsa Melayu.

“Di Terengganu, 97 peratus penduduknya adalah orang Melayu dan mereka ini masih menghormati orang yang lebih tua di kampung mereka.

“Mereka hormat ketua kampung, tok imam dan bilal. Budaya hidup seperti ini adalah satu kelebihan yang dapat menghindarkan daripada berlakunya kes-kes jenayah yang melibatkan gangsterisme di Terengganu,” katanya.

Aidi berkata sikap rakyat Terengganu yang masih mengamalkan budaya hidup ‘menjaga tepi kain orang’ turut membantu polis membanteras aktiviti gangsterisme.

Kata Fuzi beliau juga sangat berpuas hati dengan langkah yang diambil polis Terengganu bagi mengekang kegiatan jenayah di negeri berkenaan.

“Saya memantau perkembangan bukan saja di Terengganu tetapi seluruh negara,” katanya.

– M’kini

.