IGP: KERTAS SIASATAN 1MDB DAH SERAH PADA AG

Pihak polis telah menyiapkan kertas siasatan berkaitan 1MDB dan ia telah diserahkan kepada pihak peguam negara untuk tindakan lanjut, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

“Kita telah pun habis siasat (1MDB) dan kertas siasatan dah serahkan kepada pihak Peguam Negara. Agak lama (dah serahkan),” katanya pada sidang media di Bukit Aman hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas soalan pemberita berhubung arahan Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar mengakhiri siasatan anak syarikat 1MDB, SRC International.

Khalid berkata, pihak polis sebelum ini tidak menyiasat SRC International.

Malah, pihaknya juga berkata, siasatan 1MDB berdasarkan cadangan dan penemuan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan pada Ogos tahun lalu, fasa pertama laporan tersebut selesai.

‘Debat di parlimen’

Sementara itu, mengulas cadangan Menteri Kebudayaan dan Pelancongan Datuk Seri Nazri Aziz yang ingin melakukan debat dengan Tun Dr Mahathir Mohamad di auditorium polis di Cheras, Khalid berkata ia bukan tempat yang sesuai.

Sebaliknya, beliau menyarankan agar sebarang debat dilakukan di parlimen dan bukan di balai polis.

“Balai polis bukan tempat berdebat. Saya nasihatkan debat di parlimen. parlimen tempat berdebat bukan di balai polis, bukan di padang.

“Tempat debat yang sesuai di Parlimen,” kata Khalid

Bengang dengan tindakan polis yang sekali lagi membatalkan permit untuk perbahasan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, Nazri mencadangkan supaya majlis itu diadakan di auditorium polis di Cheras, atau lebih baik lagi, di Antartika.

Ini kerana katanya, di Antartika “penguin tidak faham Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris, dan oleh itu, tidak akan berlaku rusuhan.”

MKINI

.