IGP BARU: TIADA PERKEMBANGAN BARU SIASATAN 1MDB

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, siasatan terhadap skandal 1MBD sudah selesai dan tiada sebarang perkembangan baru untuk dimaklumkan setakat ini, kecuali mendapat arahan daripada Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC) dan kabinet.

“Tak ada tak ada, kita tak ada keperluan baru, siasatan itu dah selesai.

“Kecuali kita ada arahan daripada PAC atau kabinet dalam perkara ini. Setahu saya perkara ini sudah selesai tak tiada perkara baru perlu saya beritahu pihak media dan orang awam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Hari Inovasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Universiti Malaysia Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Pada Jun lalu, ketua polis negara ketika itu, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan pihak polis untuk menyiasat lebih lanjut mengenai isu 1MDB.

Polis menubuhkan sebuah pasukan penyiasat pada April 2016 untuk meneliti laporan PAC mengenai 1MDB, sehari selepas laporan berkenaan dibentangkan.

Pada April tahun ini, Khalid memberitahu bahawa siasatan itu telah selesai.

Pada 17 Jun lalu, Khalid berkata beliau masih belum menerima sebarang maklum balas daripada pejabat peguam negara berhubung kertas siasatan yang diserahkan oleh polis.

Tekanan ke atas pejabat peguam negara dan polis semakin meningkat susulan pemfailan saman sivil terbaru oleh Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat berkaitan 1MDB pada 15 Jun.

Pelbagai pihak, khususnya pembangkang dan kumpulan masyarakat sivil membidas pihak berkuasa Malaysia kerana gagal bertindak sedangkan rakan sejawatan mereka di Singapura, Switzerland, Amerika Syarikat dan beberapa negara lain telahpun mengambil tindakan ke atas mereka yang terlibat dalam skandal 1MDB.

Sebagai contoh, Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat sedang menyiasat dakwaan penyelewengan sebanyak AS$4.5 bilion daripada 1MDB berdasarkan alasan bahawa sebahagian dana berkenaan telah disalurkan menerusi sistem kewangan negara itu.

Saman pelucuthakan sivil DOJ mengaitkan “Malaysian Official1” (MO1) dalam skandal 1MDB dan memaklumkan bahawa sebahagian dana firma pelaburan negara Malaysia itu telah dialihkan melalui akaun banknya dan digunakan untuk membeli berlian kepada isterinya.

MO1 didakwa merujuk kepada Najib, tetapi perdana menteri itu berulang-kali menafikan dakwaan beliau menyalahgunakan dana awam untuk keuntungan peribadi.

MKINI

.