IDRIS: MORATORIUM BAGI PEMBINAAN KAMPUS BARU

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melaksanakan tempoh moratorium bagi pembukaan sebarang kampus baru kolej dan universiti tempatan serta asing di negara ini, kata menteri berkenaan Datuk Seri Idris Jusoh.

Beliau berkata moratorium itu dilaksanakan setelah mendapati jumlah kolej dan universiti di seluruh negara adalah mencukupi.

“Tidak boleh. Tidak ada pembukaan (kampus) baru. Kecuali jika yang dalam senarai 100 universiti terkemuka dunia, kami (kementerian) sedia menimbangkannya atau jika ia (universiti) sendiri dapat yakinkan Kabinet,” katanya kepada pemberita ketika ditanya jumlah universiti asing yang membuka cawangan di Malaysia tahun ini.

Terdahulu, beliau menghadiri majlis meraikan kejayaan Heriot-Watt University Malaysia diumumkan sebagai Universiti Antarabangsa Terbaik oleh Times and Sunday Times Good University Guide 2018 di Putrajaya, semalam.

Idris berkata Malaysia kini mempunyai 400 kolej dan universiti swasta.

Menurutnya jika ada universiti yang mahu membuka cawangannya di negara ini, ia haruslah dari kalangan universiti terkemuka.

Walaupun KPT mengambil langkah melaksanakan moratorium itu, Idris yakin Malaysia dapat menjadi hab pendidikan tinggi serantau dengan menerima 200,000 penuntut asing menjelang 2020.

Beliau berkata sasaran itu dapat dicapai kerana Malaysia menjadi pilihan penuntut dari pelbagai negara khususnya dalam program pertukaran penuntut dan program pemindahan penuntut.

Sebagai contoh, katanya, para penuntut Heriot-Watt University di United Kingdom yang berpindah ke kampus Heriot-Watt University Malaysia bertambah daripada 30 penuntut tahun lepas kepada 80 penuntut yang dijadual tiba pada Januari depan.

Idris berkata KPT juga sedang menimbang kemungkinan untuk bekerjasama dengan Universiti Heriot-Watt bagi membolehkan penuntut universiti awam tempatan mengikuti pengajian satu semester di kampus Universiti Heriot Watt Malaysia.

“Sebagai permulaan, kerjasama itu akan melibatkan Heriot-Watt dan Universiti Kebangsaan Malaysia,” katanya.

“Kerjasama itu bertujuan memberi pendedahan mengenai unversiti-universiti asing kepada penuntut tempatan serta membantu meningkatkan lagi penguasaan bahasa Inggeris mereka. Yurannya pula mampu dibiayai penuntut tempatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Heriot-Watt University Malaysia Prof Mushtak Al-Atabi berkata kejayaan Heriot-Watt sebagai Universiti Antarabangsa Terbaik disebabkan oleh program Go Global yang membolehkan para penuntutnya dari mana-mana tiga kampusnya di Scotland, Dubai atau Malaysia untuk berpindah sekiranya program mereka turut ditawarkan di kampus pilihan mereka.

-Bernama

.