IBU SEGALA BAJET UNTUK HANG KEBUN

Ada mengatakan yang polikus adalah profesion tertua di dunia, bukan pelacur. Mungkin ada kebenarannya atau mungkin politikus pertama adalah seorang pelacur.

Ada yang bertanya, apakah ada perbezaan antara politikus dan pelacur dalam erti kata taraf kehinaan?

Ramai menjawab, pelacur hanya melacurkan diri untuk mencari rezeki manakala politikus bukan sahaja melacurkan dirinya sendiri, malah boleh melacurkan apa sahaja untuk kuasa dan survival.

Kita boleh membuat analisis dan berdiskusi, kesimpulan yang boleh diambil, majoriti politikus adalah sebahagian daripada masalah dan membawa lebih banyak masalah kerana mereka boleh bertindak seperti pelacur.

Apa pun, semua itu sekadar untuk memperingatkan pada politikus yang mencari makan siang malam secara haram terutamanya dengan politik, bahawa walau ada yang bergelar wakil rakyat, YB, menteri dengan segala pingat, kalian mungkin tidak menyedari bahawa tidak semua politikus itu boleh digelar pemimpin apa lagi negarawan.

Ramai lebih layak menjadi badut yang semakin hari semakin menyusahkan rakyat, selain menjadi perompak yang terus merasakan mereka layak dan berhak untuk melakukan apa sahaja selagi berkuasa.

Kerana itu apabila membaca seorang politikus veteran (tua dan boleh pencen) bertaraf menteri perhiasan, dengan kelulusan Phd mengatakan bajet tahun ini adalah yang terbaik di dunia, saya mahu sahaja menangis membayangkan betapa rendahnya kualiti majoriti politikus bertaraf menteri ‘Hang Kebun’ dalam filem P Ramlee.

Saya pasti, sebelum membuat dakwaan sebegitu, politikus yang dilantik menteri atas kuota negeri itu dan kesetian kepada bos, tidak pernah mengkaji semua bajet semua negara di dunia sepanjang hidupnya atau bercakap dari kebodohan dengan CGPA 3.86.

Kalau dia pernah mengikuti negara-negara yang bebas cukai seperti UAE, Qatar, Bahrain, Kuwait, Saudi dan Oman, pernahkah dia bertanya bagaimana mereka boleh menghasilkan bajet bertahun-tahun tanpa mengenakan cukai kepada rakyat dan ekspatriat?

Bajet yang dikatakan terbaik itu pun masih defisit untuk banyak kali tahun dan hutang negara mencecah 53 peratus daripada GDP, belum kira hutang piutang GLC terutama 1MDB.

Kalau cukai dihapuskan…

Kalau dalam bajet diumumkan semua cukai kepada rakyat dihapuskan dan menteri berkhidmat secara percuma, bolehlah dianggap bajet terbaik.

Apalagi politikus yang bertaraf menteri kewangan dengan menepuk dada mengatakan itulah ibu segala bajet yang pernah dibentangkan.

Politikus yang dikenali sebagai kleptokrat dan dipanggil ‘crook‘ oleh majalah Newsweek menyampaikan pembentangan dengan gaya politikus berceramah kempen politik. Sememangnya, bajet dijadikan kempen politik dan semakin memualkan.

Apa susahnya membuat bajet kalau mengutip dana dengan cukai dari rakyat dan berbelanja pengurusan jauh melebihi belanja pembangunan? Bayar hutang dan bunga riba pun begitu banyak.

Tentunya tidak perlu politikus taraf perdana bersandiwara dan beretorik disiarkan secara langsung dan kemudian para politikus bawahan, media kepunyaan parti dan kerajaan memutarbelitkan sebagai propaganda kempen pilihan raya.

Memuja memuji bagai nak rak tanpa rasa berdosa untuk berbohong.

Apakah ibu segala bajet ini menyediakan negara ke arah negara maju berpendapatan tinggi?

Rasanya tidak.

Adakah ibu segala bajet menyelesaikan masalah rakyat secara komprehensif?

Dengan sekadar memberi insentif one-off dan meneruskan BR1M untuk tujuh juta golongan yang dikatakan miskin hanyalah untuk memancing undi.

Industri 4.0

Apakah ibu segala bajet membawa pendapatan baharu selain cukai seperti GST dan lain-lain?

Yang pasti kerajaan akan menaikkan usaha menambahkan cukai termasuk dari orang mati.

Tidak disebut tentang industri 4.0 apabila kepintaran buatan sudah menjadi agenda negara-negara seperti China dan UAE.

Begitulah apabila kita lihat, sehari selepas pembentangan bajet, dewan parlimen kosong untuk perbahasan. Para politikus di kalangan yang bersorak bahawa ibu segala bajet sebagai bajet terbaik di dunia tidak merasa bertanggungjawab sebagai wakil rakyat yang dibayar gaji dan elaun oleh rakyat membahaskan secara profesional.

Hanya hadir apabila politikus perdana hadir dan politikus perdana ini sendiri tidak hadir untuk mendengar perbahasan. Paling penting bagi mereka ialah untuk hadir sewaktu pengundian.

Selepas 60 tahun merdeka, kita terus teruja dengan para politikus ‘mediocre‘ yakni politikus biasa-biasa sahaja. Lihat sahaja barisan menteri kabinet yang ada, mereka tidak lebih sekadar ‘Hang Kebun’ yang tidak sesuai untuk berlakon sebagai Hang Tuan dan Hang Jebat.

Para Hang Kebun inilah yang sedang berkuasa dan menjahanamkan apa yang kita ada dengan politik kelas tiga mereka.

Lantas, seperti adegan filem P Ramlee, apabila perompak membahagikan harta rampasan, satu untuk kau, satu untuk aku, kemudian bergaduh kerana tamak dan saling tidak mempercayai, begitulah ibu segala bajet dan bajet terbaik di dunia dalam definisi komedi yang tidak kelakar kerana kita terus terpaksa menanggung hutang negara, hutang 1MDB dan segala skandal perompakan, ketirisan, penyelewengan yang tentunya tidak disebut langsung dalam pembentangan ibu segala bajet pilihanraya.

Nyahkan politikus ‘Hang Kebun’ yang perasan mereka politikus taraf Hang Tuah dan Hang Jebat dalam pakaian baju Melayu yang harga sampingnya sahaja, lebih mahal dari BR1M untuk rakyat marhaen!

MOHD FUDZAIL MOHD NOR bermastautin di UAE sejak 2000. Pernah bekerja di TV3 dan kini usahawan serta pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan sembilan judul buku dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

– M’kini

.