IBRAHIM ALI TEMUI TUN M ESOK UNTUK PULIHKAN HUBUNGAN PERKASA – PPBM?

Dato' Ibrahim bin Ali is a Malaysian politician and a former Member of Parliament for Pasir Mas, Kelantan. He is also the founder and president of Malay rights group Perkasa.

Kalau pun tidak “lumpuh”, Perkasa yang dipimpin oleh Ibrahim Ali sekarang ini boleh dianggap “agak tempang” berikutan ramai pemimpinnya di peringkat pusat, negeri serta bahagian telah mengambil keputusan untuk menyertai PPBM, sebuah parti baru yang diinisiatifkan oleh Tun Mahathir Mohamad yang bertujuan untuk menyingkirkan Najib Razak dalam PRU 14 akan datang.

Diantara mereka itu ada yang memilih untuk terus kekal sebagai ahli Perkasa dan ada juga yang mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan. Tetapi, semua yang menyertai PPBM itu mengambil keputusan tidak mahu lagi aktif, enggan menghadiri mesyuarat dan ada juga yang tidak mahu ambil peduli langsung tentang Perkasa.

(Nota 8.05 malam – Sebentar tadi saya baru dihubungi oleh Ibrahim Ali melalui Whatsapp yang mengatakan pertemuannya dengan Tun Mahathir esok tidak ada kena-mengena dengan usaha untuk memulihkan hubungan dengan bekas Perdana Menteri itu. Beliau juga menolak dakwaan Perkasa menjadi lemah dengan tindakan satu dua pemimpinnya menyertai PPBM, sebaliknya menurut beliau, ia ada hikmahnya dan Perkasa tetap gagah dan perkasa dalam perjuangannya.)

Terbaru yang meletakkan jawatan ialah Yang Dipertua Perkasa Selangor, Abu Bakar Yahya.

Sebelum ini Perkasa dan Ibrahim Ali adalah sinonim dengan Tun Mahathir. Beliau bukan saja menjadi Penaung Kehormat NGO tersebut, malah jika tanpa bantuan serta kelibat bekas Perdana Menteri itu sejak daripada awal penubuhannya, ramai yang beranggapan tidak mungkin Perkasa boleh popular seperti yang ada sekarang.

Sebab itu, ketika Tun Mahathir mahu menubuhkan PPBM, parti yang mirip UMNO, Ibrahim Ali dikhabar-anginkan akan turut menyertai parti itu bersama-sama majoriti ahli serta pemimpinnya.

Langkah itu dilihat tidak mustahil kerana memang diketahui sebahagian besar pimpinan Perkasa adalah mereka yang rapat dan menyokong perjuangan Tun Mahathir, terutama sejak Najib Razak mengambil sikap lebih berlembut terhadap bukan Melayu dalam beberapa dasar serta pendekatan yang diambilnya.

Beserta kemungkinan ahli dan pimpinan Perkasa akan menyertai PPBM itu, Ibrahim Ali turut dikhabarkan akan diberikan salah satu jawatan kanan dalam parti itu.

Bagaimanapun, sikap dan pendirian Ibrahim Ali mula berubah apabila Tun Mahathir bertemu dan bersalaman dengan Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi pada 5 September lalu.

Dengan berbaiknya semula Tun Mahathir dengan Anwar setelah lebih 18 tahun bermusuhan dan tidak bertemu, Ibrahim dikatakan mula merasa terpinggir kerana beliau sebelum ini kerap menghentam Ketua Umum PKR itu, termasuk dalam buku biografinya yang bertajuk “Perjuangan Tanpa Noktah.”

Buku tersebut, edisi bahasa Melayu dilancarkan oleh Tun Mahathir, manakala edisi bahasa Inggeris dengan tajuk “The Misunderstood Man” pula oleh Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali pada 5 Jun lalu.

Susulan itu, Ibrahim kemudian mempersoalkan hala tuju PPBM dengan menyifatkan kesediaan Tun Mahathir menjalin hubungan semula dengan Anwar dan berbaik-baik DAP telah menimbulkan seribu tanda-tanya.

Bagaimanapun, pendirian Ibrahim Ali itu tidak diterima oleh sebahgaian besar ahli dan pimpinan Perkasa pelbagai peringkat kerana mereka menyifatkan berpadu tenaga dan saling bekerjasama untuk menyingkirkan Najib adalah keutamaan semua pihak demi kepentingan rakyat dan negara.

Sejak itu, Perkasa tidak lagi padu seperti dulu dan Ibrahim Ali seolah-olah umpama panglima perang yang tidak lagi mempunyai ramai askar. Ini berikutan semua yang memilih untuk menyertai PPBM adalah daripada kalangan mereka yang selama ini dikenali vokal serta aktif bersama masyarakat.

Berdasarkan sambutan masyarakat terhadap PPBM, termasuk ahli dan pimpinan Perkasa sendiri, Ibrahim kini mula digamit kebimbangan. Dalam waktu terdekat ini, antara kerisauan beliau ialah mengenai jumlah kehadiran dalam Perhimpunan Agung Tahunan Perkasa pada November ini yang dijangka diadakan di sebuah stadium di ibu kota.

Untuk beralih sepenuhnya menyokong Najib dan kerajaan, Ibrahim dikatakan sedar ia bukanlah langkah yang popular kerana majoriti rakyat sendiri semakin menolak dan menjauhi UMNO dan BN.

Langkah terbaik ialah memulihkan semula hubungan beliau dan Perkasa dengan Tun Mahathir. Bagi tujuan itu, esok iaitu Khamis, 6 Oktober, Ibrahim dikhabar mempunyai jadual pertemuan dengan Tun Mahathir di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya.

Dijangka pertemuan tersebut bukan saja bertujuan untuk memulihkan semula hubungan yang telah renggang itu, malah juga difahamkan untuk menjemput Tun Mahathir merasmikan Perhimpunan Agung Perkasa pada November ini.

Soalnya, apakah Tun Mahathir bersetuju untuk merasmikan Perhimpunan Agung Perkasa dan tidak “berasa hati” kepada Ibrahim Ali yang tiba-tiba dengan garang mempersoalkan hala tuju PPBM, baru-baru ini?

Jika Tun Mahathir bersetuju pula, apakah ia akan dituruti dengan penyertaan Ibrahim ke dalam PPBM?

Apa pula jawatan tertentu dalam PPBM yang akan diberikan kepada Ibrahim Ali?

– http://shahbudindotcom.blogspot.my/

.