IBRAHIM ALI: SAYA LEBIH AWAL MAKAN DEDAK DR M

Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali hari ini mengaku ambil dedak daripada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika masih berkhidmat dalam kerajaan.

“Tidak sedikit jasa Dr Mahathir kepada saya. Ketika saya sertai Umno, tak sampai sebulan saya dilantik jadi ahli majlis tertinggi Umno.

“Beliau sayang dan tolong saya dalam hidup saya. Saya dapat dua atau tiga projek yang saya minta dan Dr Mahathir luluskan.

“Jadi maknanya, saya makan dedak lebih awal daripada yang lain,” katanya dalam satu forum yang disertai Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa yang disiarkan secara langsung di Facebook.

Dedak dalam bahasa Melayu bererti kulit padi yang dijadikan makanan ayam atau itik. Ia juga membawa erti rasuah atau habuan yang diberikan atas kesetiaan.

Ibrahim menyertai Umno pada 1981 dan dilihat rapat dengan Dr Mahathir. Bagaimanapun, beliau menyertai parti serpihan Umno iaitu Semangat 46 pada 1988 dan 1991 ketika terjadi rebutan kuasa antara Dr Mahathir dan Tengku Razaleigh Hamzah.

Kembali kepada Umno

Ibrahim berkata beliau tetap mendapat layanan baik daripada Dr Mahathir selepas kembali kepada Umno pada 1991.

“Pada 1992, saya dihantar ke mesyuarat sidang kemuncak di Rio De Jeneiro meskipun saya tak ada jawatan politik selain sebagai anggota parlimen,” katanya.

“Saya boleh berjalan seluruh dunia.. termasuk Argentina, Brazil, Uruguay dan Paraguay,” katanya.

Oleh kerana itu, menurut Ibrahim lagi, ramai yang dengki terhadap beliau.

Beliau juga menegaskan masih menghormati Dr Mahathir, namun untuk kepentingan orang Melayu dan Islam, beliau tidak dapat menyokong bekas perdana menteri itu.

Ibrahim disingkirkan dari Umno oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi empat bulan sebelum pilihan raya umum 2004 kerana bertegas untuk bertanding meski tidak dicalonkan oleh Umno.

Ibrahim bertanding sebagai calon bebas melawan Umno dan PAS di Pasir Mas namun tewas.

Beliau kemudian bertanding dengan tiket PAS pada pilihan raya umum 2008 dan menjadi anggota parlimen Pasir Mas.

Ibrahim seterusnya menubuhkan badan pejuang hak Melayu PERKASA.

Pada PRU 2013, Ibrahim sekali lagi bertanding sebagai calon bebas menentang PAS selepas berjaya meyakinkan calon Umni untuk tarik diri, namun beliau tewas.

– M’kini

.