IBRAHIM ALI: MAHU PERUBAHAN? PILIH CALON BEBAS DALAM PRU

KUALA LUMPUR, 9 Jun — Pengundi harus memilih calon Bebas dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang jika mahu kepentingan mereka diperjuangkan, kata Datuk Ibrahim Ali.

Bekas ahli Parlimen Pasir Mas berkata calon Bebas mempunyai kelebihan mengkritik sesuatu isu dan tidak berpegang pada arahan yang dikeluarkan parti.

“Kalau rakyat faham, rakyat akan pilih calon Bebas. Mereka yang menang atas nama parti tidak berani menegur parti mereka sejak merdeka lagi.

“Seperti isu pembalakan, kemiskinan dan pengangguran di Kelantan, wakil rakyat PAS dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) menyalahkan kerajaan pusat.

“Mereka tidak berani menyalahkan kerajaan negeri. Jika mereka menegur, mereka tidak akan menjadi calon dan tidak akan memegang jawatan.

“Sama dengan Barisan Nasional (BN), di Dewan Rakyat mereka hentam pembangkang. Tidak berani menegur pemimpin sendiri,” katanya kepada ProjekMMO dalam wawancara.

Untuk rekod, semua calon Bebas yang bertanding PRU13 gagal melayakkan diri menjadi ahli Parlimen.

Ibrahim sendiri yang menjadi calon Bebas di Pasir Mas tewas dengan majoriti 8,047 undi.

Beliau tewas di tangan calon PAS Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang memperoleh 33,431 undi.

Ibrahim, bekas wakil Umno yang kini mengepalai Perkasa, berkata sudah sampai masanya rakyat membuat perubahan memilih calon Bebas.

“Jika pilih calon Bebas, mereka tidak terikat dengan sesiapa. Boleh bercakap cara terbuka dan menegur sesiapa.

“Sebab itu saya simpulkan dalam DUN atau Dewan Rakyat, tiada wakil rakyat, yang ada wakil parti.

“Mana ada ahli parlimen Umno atau BN bercakap mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kerana mereka terikat dengan parti. Mereka mengundi mengikut arahan whip,” katanya.

– Malay Mail

.