HUTANG KETERLALUAN BAWA KESAN BURUK PADA NEGARA – DR DZULKEFLY

SHAH ALAM – Hutang tidak semestinya buruk, tetapi ‘keterlaluan’ jana atau pacu pertumbuhan melalui hutang bawa pelbagai konsekuensi buruk.

Menurut Pengarah Strategi Parti Amanah, Dr Dzulkefly Ahmad, model pertumbuhan negara mutakhir ini amat jelas dipacu oleh ‘hutang’ dan ia akan memberi kesan buruk kepada kelestarian untuk jangka masa panjang.

“Pada saya, lebih penting dari persoalan angka hutang ini ialah adakah kita dapat menjana pertumbuhan secara efisien tanpa ketirisan, kerana sistem delivery yang ‘tempang’ dan sarat dengan kebocoran kerana ‘birokrat’ dan penguasa politik yang tidak amanah.

“Apakah yang dibelanjakan itu satu yang menepati susun atur keutamaan keperluan rakyat dalam menjana pembangunan sosial yang adil dan berkira dengan ‘agihan kekayaan’ yang dikecapi rakyat, sambil membina ‘kelas menengah’ yang semakin besar. Bukan hanya terus-terusan dibolot segelintir kroni dalam pelbagai projek mega dan mutakhir dalam inisiatif pembiayaan swasta (PFI) menggantikan penswastaan,” katanya.

Dzulkefly juga persoalkan peranan yang bertanggungjawab, mengawal dan awasi prestasi ekonomi negara.

“Bank Negara Malaysia (BNM) juga punya peranan dalam kajian Makroekonomi seperti pertumbuhan dan perihal Dasar Monetari seperti penetapan kadar dasar semalaman (OPR) . Kita nampak macam over-managing tapi hasil atau outcome tidak boleh dibanggakan,” katanya.

Beliau juga bersetuju apabila Tun Daim mencadangkan agar kerajaan perlu menubuhkan pasukan baharu bagi memperbetulkan ekonomi yang lesu.

“Tentunya saya setuju, tetapi kalau kita pilih ‘yang penakut untuk membantah’ dan yang yes-men sahaja, kita balik kepada asal!

“Yang pastinya, sejak berzaman kami (pembangkang ) tegaskan supaya perdana menteri tidak boleh ambil peranan sebagai Menteri Kewangan,” katanya.

– Sinar harian

.