HUSNI SALAH ‘KUDA’?

Pembangkang terus membangkitkan isu ‘pusingan U’ bekas menteri kewangan kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dalam isu 1MDB dan jangkaan rasuah sifar bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.

Anggota parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul berkata “kedangkalan” Husni menunjukkan bahawa beliau seolah-olah tidak melihat realiti yang berlaku ketika ini apabila perdana menteri sendiri terpalit dakwaan rasuah.

“Satu dunia sudah menjaja fakta ini,” kata Johari.

Malah, katanya, Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2016, menunjukkan pencapaian Malaysia semakin merosot daripada tangga 54 kepada 55 daripada 176 buah negara.

“Malah sehingga kini masih lagi banyak rasuah yang tidak diambil tindakan.

“Kalau Husni mahu ikut ‘kuda’ biarlah ‘kuda’ yang bersih dan telus, bukannya ‘kuda’ rasuah, makan harta rakyat.”

Husni melepaskan jawatan menteri kewangan kedua kira-kira 15 bulan lalu. Media melaporkan alasan peletakan jawatan itu kerana enggan dipindahkan ke kementerian lain.

Bagaimanapun ia menarik minat ramai kerana berlaku ketika isu skandal 1MDB sedang panas diperkatakan termasuk di kalangan pemimpin Umno.

Dalam satu temu bual Husni mengakui isu 1MDB membuat beliau tertekan semasa menjadi menteri kewangan kedua.

Selepas meletakkan jawatan Husni pernah bercakap mengenai syarikat pelaburan milik kerajaan itu dalam satu majlis di Shah Alam.

Beliau juga pernah menyentuh isu 1MDB semasa berbahas di Dewan Rakyat pada Oktober tahun lalu. Ekoran itu beliau dipanggil memberi keterangan di Bukit Aman beberapa hari kemudian.

Selain melepaskan jawatan sebagai menteri Husni turut mengetepikan kedudukan lain dalam parti termasuk bendahari Umno.

Namun ketika pengkritik Najib meninggalkan parti itu atau menyertai parti lain Husni kekal tidak menonjol namun dilihat menyertai anggota parlimen BN lain meraikan ucapan Bajet 2018 pada 20 Oktober lalu.

Untuk rekod menteri kewangan pertama ialah Najib.

– M’kini

.