HUSAM TUNGGU UGUTAN SAMAN

KOTA BHARU – Datuk Husam Musa menyatakan kesediaannya berdepan ugutan saman yang didakwa dilakukan Kerajaan Kelantan, susulan pendedahan berkaitan Projek Lebuh Raya Rakyat di sebuah forum di Kota Bharu, baru-baru ini.

Naib Presiden Amanah itu mendakwa, respons  kerajaan negeri itu menunjukkan beliau di pihak benar dan Kerajaan Kelantan cemas dengannya.

“Kerana itu respons Kerajaan Kelantan lambat, terbatas dan lebih berunsur ugutan daripada penjelasan. Atas ugutan saman itu, saya menunggu,” katanya dalam kenyataan disiarkan di blog, semalam.

Sebelum ini, Exco Kerajaan Kelantan, Datuk Hanifa Ahmad berkata, kerajaan negeri  mungkin akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Adun Salor itu  kerana menuduh  menamatkan kontrak pembinaan Lebuh Raya Rakyat dengan Syarikat Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB)

Hanifa menjelaskan penamatan kontrak dengan syarikat JKSB itu berdasarkan persetujuan bersama.

Beliau berkata, pada masa sama tindakan undang-undang juga bakal dilakukan terhadap pihak yang mengeluarkan kertas pembatalan kontrak itu.

Husam dalam tulisan itu juga mempersoalkan kerajaan negeri yang sentiasa berselindung di belakang ‘dokumen sulit’.

Husam bagaimanapun berkata, beliau sedikit bangga apabila kenyataan Hanifa itu memberikan nilai kepada pendedahan dibuatnya.

“Pendedahan itu adalah berdasarkan dokumen. Dokumen itu ada, cuma ia rahsia, fakta saya berdasarkan dokumen tertentu,” katanya.

– http://www.sinarharian.com.my

.