HUSAM TUNGGU SAMAN DEMI RAKYAT, KELANTAN

Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Husam Musa, menyambut baik cadangan sebuah syarikat mahu menyamannya.

Kata Husam langkah itu memang dialu-alukan supaya banyak masalah membabitkan kepentingan Kelantan dan orang awam diselesaikan.

Dalam kenyataannya bekas exco kanan Kelantan itu menyatakan memang menjadi tanggungjawab beliau melindungi kepentingan rakyat dan negerinya.

“Menjadi tugas saya selaku anggota dewan undangan negeri untuk menjaga kepentingan negeri dan rakyat saya.

“Ugutan saman tuan tidak boleh mengubah tugas dan tanggungjawab saya untuk terus bersuara, insya-Allah,” katanya.

Husam mengulas kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Climate Protectors Sdn Bhd, Tang Too Siah, yang sedang mempertimbangkan kemungkinan untuk menyaman beliau.

Dalam reaksinya kepada dakwaan Husam, Tang berkata syarikat itu dan dirinya sedang mendapatkan pandangan perundangan berhubung laporan yang dikaitkan dengan mereka.

“Kami berhak mengambil tindakan undang-undang ke atas sesiapa yang bertanggungjawab menerbitkan atau mengedar kenyataan sebegitu,” katanya.

Harap siasat cepat

Husam melalui sidang akhbarnya pada 3 Julai lalu membangkitkan kebimbangan terhadap kelulusan diberi kerajaan Kelantan kepada sebuah syarikat swasta membabitkan tanah hutan simpan seluas sejuta ekar.

Kata Husam syarikat berkenaan berada dalam senarai Amaran Kewangan Pengguna oleh Bank Negara ekoran aktiviti mereka yang didakwa mengambil deposit tanpa kebenaran.

Syarikat itu menyediakan peluang pelaburan berasaskan cryptocurrency (mata wang digital) dikenali sebagai EcoBit.

Menurut Husam, beliau dan pembantunya banyak menerima aduan termasuk dari luar negara mengenai tuduhan yang dikaitkan dengan seseorang bernama TS Tang.

“Seseorang bernama TS Tang banyak dikaitkan dalam aduan itu. Beliau (TS Tang) dikatakan terlibat melesapkan wang pelabur melalui skim bit coin anjuran (sebuah syarikat dikenali sebagai) BTC Panda.

“Saya belum dapat mengesahkan sama ada dakwaan ini benar atau tidak.

“Saya berharap Tang boleh menjelaskan kepada umum sama ada beliau terlibat dengan dakwaan itu atau tidak. Juga sama ada TS Tang yang disebutkan pengadu itu adalah beliau,” katanya.

“Jika TS Tang yang terlibat dengan BTC Panda adalah sama dengan Tang Too Siah dari Climate Protector dan EcoBit, saya kira peringatan saya kepada kerajaan Kelantan adalah penting,” katanya.

Husam juga menyatakan sebanyak 11 laporan polis sudah dibuat di pelbagai lokasi di seluruh negara berhubung isu berkenaan.

“Sehubungan itu saya berharap polis mempercepatkan siasatan dalam isu ini,” katanya.
Pada 5 Julai Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob menasihati mana-mana pihak yang telah membuat bayaran kepada syarikat tersebut supaya tampil membuat laporan polis.

“Kerajaan negeri membuat penegasan bahawa kami tidak pernah mengarahkan atau meminta syarikat Climate Protector Sdn Bhd atau mana-mana syarikat mengutip wang untuk melaksanakan projek karbon trading (dagangan karbon) tersebut.

“Kerajaan negeri amat mengharapkan sesiapa yang membuat apa jua bayaran agar dapat membuat laporan polis supaya siasatan dapat dijalankan oleh pihak berwajib,” katanya di Kota Bharu.

– M’kini

.