HUSAM PERLU TARIK TUDUHAN KEPADA YAYASAN TOK KENALI

KOTA BHARU – Penasihat Amanah, Datuk Husam Musa digesa menarik balik dakwaan yang tidak berasas yang dilemparkan kepada Yayasan Amanah Tok Kenali dan kerajaan negeri dalam isu pembinaan tugu banjir di Kuala Krai.

Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah meneliti dakwaan yang dibuat bekas pemimpin Pas itu dan mendapati perkara tersebut tidak betul dan tidak bertanggungjawab.

“Selepas meneliti beberapa dokumen dan mendengar penjelasan daripada Yayasan Amanah Tok Kenali, tanah yang dimaksudkan oleh terbabit adalah dibeli Yayasan Amanah Tok Kenali bagi tujuan menyelamatkan tanah Masjid Jauhar yang sebelum ini dibina di atas tanah milik individu.

“Manakala, Tugu Banjir yang dibina oleh badan bukan kerajaan di Kuala Krai tidak termasuk di dalam tanah yang dibeli Yayasan Tok Kenali dan tidak seperti yang didakwa beliau,”katanya.

Husam sebelum ini didakwa mengeluarkan kenyataan mempersoalkan tindakan pembinaan tugu banjir di Kuala Krai yang berjumlah RM300,000 yang disifatkan sebagai membazir.

Sebelum ini, Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dalam persidangan Dun Kelantan telah menjelaskan rasionalnya pembinaan tugu banjir tersebut, terutamanya untuk melambangkan penghargaan kepada semua pihak yang telah membantu sepanjang musibah itu berlaku.

Beliau turut menjelaskan mengenai tanggungjawab penyelenggaraannya.

Mengulas kenyataan dibuat Husam, ia telah jauh menyimpang dan tiada asas yang kukuh, sekali gus ia perlu ditarik balik untuk mengelak sebarang kekeliruan timbul.

Wan Roslan juga turut mengingatkan semua pemimpin politik atau individu perlulah sentiasa berhati-hati di dalam memberikan kenyataan bagi mengelak sebarang silap faham, kekeliruan dan tohmahan tidak berasas  yang boleh menimbulkan fitnah.

– Sinar Harian

.