HUSAM: PEMIMPIN KELANTAN TIDAK ‘CUKUP PENERBANGAN’

KOTA BHARU – Datuk Husam Musa menyifatkan kepimpinan kerajaan Kelantan yang mengurus isu arahan henti niaga di waktu Magrib sebagai mereka yang tidak ‘cukup penerbangan’.

Beliau mendakwa, teguran dan kritikkannya  terhadap arahan kontroversi itu tepat, apabila Exco Kerajaan Kelantan, Datuk Abdul Fattah Mahmood itu terpaksa membuat ‘pusingan U’.

“Bagi pimpinan Kerajaan Kelantan yang belum cukup ‘jam penerbangan’, tak usahlah menunjuk pandai cuba membawa pesawat besar terbang bersendirian. Rujuklah pimpinan lain yang lebih mahir undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Husam menerima kecaman banyak pihak apabila beliau dan Datuk Zaid Ibrahim tidak bersetuju dengan polisi yang akan dilaksanakan kerajaan Kelantan itu selepas ini.
Dalam masa yang sama, Zaid menyatakan beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan Kelantan.

Husam yang juga bekas exco kanan kerajaan Kelantan itu menjelaskan peraturan ini diperkenalkan sebelum beliau berada dalam kerajaan negeri lagi.

Katanya, ia bermula daripada satu lawatan yang dibuat oleh bekas Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di pasar malam Padang Bas, Kota Bharu sebelum 1995.

“Allahyarham Tok Guru memperkenalkan peraturan setelah dibincang terlebih dahulu dalam parti dan kerajaan.

“Dalam isu sebegini, pandangan bekas exco kerajaan tempatan pertama kerajaan tok guru, yang juga seorang peguam dan bekas Penasihat Undang-Undang Negeri iaitu Allahyarham Datuk Halim Muhamad telah dijadikan landasan.

“Beliau telah memberi pandangan bahawa peraturan seperti ini, hendaklah bersifat ‘advisory’(nasihat) atau ‘galakan’dan bukan bersifat undang-undang atau legal,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Naib Presiden Amanah itu berkata, selagi peraturan itu bersifat galakan, ia suatu yang baik dan menyokongnya.

“Tetapi tidak untuk dikuatkuasakan sebagai undang-undang ke atas peniaga bukan Islam. Sebelum ini, tidak pernah ada ugutan atau pengumuman lesen peniaga yang tidak berbuat demikian akan ditarik.

“Itu sebabnya kenyataan Fattah mengejutkan saya dan saya menegur,” katanya.

– SH