HUSAM: PAS DILARANG CEROBOH WISMA TOK GURU

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor Datuk Husam Musa menegaskan PAS tidak boleh menceroboh bangunan Wisma Tok Guru di Salor, walaupun Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini menolok permohonan injunksinya terhadap pemilik baru tanah itu, Mohd Yasin Yusoff.

Beliau berkata, ia susulan permohanan asal untuk mahkamah menentukan pemilikan bangunan tersebut akan didengar pada 4 Disember depan.

“Penolakan injunksi bermakna PAS boleh menjalankan aktivitinya di atas tanah lot-lot berkenaan.

“Namun perintah penolakan permohonan injuksi oleh mahkamah tidak menyentuh tentang hak saya kepada keseluruhan bangunan Wisma Tok Guru termasuklah dewan terbuka berbumbung.

“Jika bangunan tersebut dimasuki PAS maka ia suatu pencerobohan sehingga mahkamah bersidang dan memutuskan kedudukan milikan bangunan berkenaan pada Disember ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan Mahkamah Tinggi Kota Bharu menolak permohonan injunksi Husam terhadap pemilik tanah yang menempatkan Pusat Khidmat ADUN Salor untuk menghalang daripada menggunakan tanah dan bangunan tersebut.

Keputusan itu sekali gus membenarkan PAS meneruskan rancangan untuk mengadakan majlis kesyukuran dan solat hajat yang akan berlangsung malam ini.

Husam yang juga naib presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) berkata, beliau menerima keputusan tersebut dengan lapang dada.

“Saya mengucapkan berbanyak terima kasih pada team peguam dan penyokong AMANAH dan orang ramai yang mengiringi perbicaraan.

“Juga kepada Hakim Mahkamah Tinggi Kota Bharu yang membicarakan kes,” katanya.

– M’kini

.