HUSAM: PAS AKAN TUMBANG DENGAN SENDIRI

TANAH MERAH – Pakatan Harapan (Harapan) terutama Amanah tidak perlu bersusah payah menjatuhkan Kerajaan Pas Kelantan pada PRU14 nanti kerana parti Islam itu akan jatuh dengan sendiri.

Pengerusi Harapan Kelantan, Datuk Husam Musa berkata, ini kerana kegagalan Pas mentadbir negeri ini dengan baik menyebabkan rakyat Kelantan sendiri akan menolak parti itu pada pilihan raya umum tersebut.

Katanya, antaranya ialah kegagalan kerajaan negeri menyelesaikan masalah air, isu pembangunan yang didakwa sengaja diperlahankan dan sikap lepas tangan berhubung masalah sosial di negeri ini.

“Saya nak jawab Nik Amar (Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah) yang kata Amanah nak jatuhkan kerajaan Pas di Kelantan.

“Saya sudah beratus kali sebut, Pas Kelantan ini kita tidak payah jatuhkan kerana ia akan jatuh dengan sendiri dengan masalah air yang tak selesai, masalah pembangunan dia nak perlahankan.

“Kalau kerajaan Pas jatuh, itu sudah biasa bila rakyat tolak dan bukan sekali ini Kerajaan Pas Kelantan pernah jatuh,” katanya ketika berucap merasmikan pelancaran Jentera Pilihan raya Harapan Tanah Merah, kelmarin.

Hadir sama Timbalan Pengerusi Harapan Kelantan, Datuk Kamaruddin Mohd Nor, Pengarah Pilihan raya Harapan Kelantan, Datuk Sazmi Miah dan Pengerusi Harapan Tanah Merah, Prof Datuk Dr Samsul Adabi Mamat.

Menurutnya, Pas Kelantan juga cuba mengelirukan rakyat apabila mendakwa mempunyai sumber kewangan yang cukup untuk mentadbir urus negeri tetapi pada masa, meminta ‘sedekah’ dari kerajaan pusat.

“Jangan kelirukan rakyat kata kerajaan Kelantan cukup duit kerana defisit belanjawan mengurus pada tahun lepas sahaja RM100 juta yang dibayar oleh kerajaan pusat.

“Bila kerajaan pusat bagi duit, maknanya duit tak cukup.

“Dari satu sudut, perkara ini tak perlu diperbesarkan kerana itu tanggungjawab kerajaan  pusat tapi dari satu sudut lain, kerajaan negeri kena mengaku duit tak cukup,” jelasnya.

Membuat perumpamaan fenomena gerhana bulan, semalam, dengan Pas yang menggunakan logo bulan, Husam berkata lagi, jika bulan pun gerhana, tidak mustahil Pas Kelantan akan menjadi seperti ‘gerhana’ pada PRU14 nanti.

Namun, katanya, jika bulan gerhana disebabkan bumi berada antara bulan dan matahari, namun Pas gerhana bukan disebabkan Amanah atau Harapan berada ‘di tengah’.

“Awal-awal lagi kita ajak Pas untuk bersama tetapi Pas ambil keputusan sendiri keluar dari Pakatan Rakyat dan bukannya dipecat.

“Pertamanya kerana tak bersetuju dengan DAP padahal sebelum itu boleh bersetuju.

“Selepas itu, Pas putuskan pula hubungan (tahaluf siyasi) dengan PKR.

“Pas sendiri menggerhanakan diri dan mengasingkan diri.

“Bukan kerana Amanah datang, Bersatu dan PKR ‘kacau daun’ atau DAP khianat tetapi kerana Pas gagal tadbir negeri sehingga rakyat Kelantan sendiri akan tolak,” tegasnya.

Husam yang juga Naib Presiden Amanah menegaskan, sejak dari awal lagi tugas Harapan adalah untuk mengelakkan Kerajaan Kelantan jatuh ke tangan BN.

“Kita nak ambil Kerajaan Kelantan sebab tak nak bagi kepada BN kerana mereka dahsyat.

“Tetapi dalam sesetengah segi, mungkin Pas lebih dahsyat daripada BN.

“Contohnya dari segi keluasan kawasan tebangan balak menunjukkan rekod yang Pas Kelantan buat sekarang lebih dahsyat daripada kerajaan BN di Pahang, Perak dan Johor,” katanya.

– http://www.sinarharian.com.my

.