HUSAM: AMANAH PERLU TABAH BILA DIGELAR ‘PAN’

KUALA TERENGGANU – Ahli-ahli Amanah perlu berjiwa besar berhadapan tekanan daripada Pas termasuklah apabila parti tersebut menggelarkan Amanah dengan panggilan ‘Pan’.

Naib Presiden Amanah, Datuk Husam Musa berkata, walaupun panggilan tersebut tidak digemari ahli-ahli Amanah, beliau berharap mereka berlapang dada dan menerimanya dengan terbuka serta menganggapnya satu ‘latihan’ dalam berhadapan cabaran politik.

Dalam pada itu, Husam turut mengingatkan ahli-ahlinya supaya tidak membalas tindakan tersebut dengan memberikan gelaran buruk kepada Pas.

“Walaupun orang ‘Pan’ tak suka dipanggil ‘Pan’ tetapi saya sengaja gunakan istilah yang dipakai oleh Pas supaya saudara tidak rasa kecil hati dan sempit fikiran bila orang sebut saudara, panggil saudara dengan nama yang saudara tidak sukai.
“Anggaplah ini sebagai satu latihan hendak mengukur berapa besarnya jiwa inklusiviti kita. Kalau dengan perkataan ‘Pan’ pun kita tidak boleh toleransi, kompromi, bagaimana nanti kalau kita mentadbir Malaysia, mentadbir negara, mentadbir negeri dengan kesempitan dada, kesempitan fikiran, minda kita menghadapi karenah yang akan berlaku? Jadi Pas kata ‘Pan’, kita boleh terima dengan hati terbuka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Makan Malam Dana PRU14 anjuran Pemuda Amanah Terengganu di Terengganu Equestrian Resort (TER) di sini, malam tadi.

Turut hadir, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar; Pengerusi Amanah Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad; Ketua Pemuda Amanah Nasional, Mohd Sany Hamzan; Ketua Pemuda Amanah Terengganu, Mohd Hasbie Muda; Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail; Pengerusi DAP Terengganu, Ng Chai Hing; Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar dan Ahli Parlimen Raub, Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz.

Mengulas lanjut, beliau menuntut ahli-ahli Amanah terus bergerak ke hadapan bagi mencipta kebangkitan sokongan rakyat terhadap ‘oren’, tema warna parti Amanah, tanpa terlalu sensitif dengan isu gelaran tersebut.

“Jadi kalau kita hendak ‘go for orange’, kita kena betul-betul terbuka dan keterbukaan ini boleh diukur apabila kita berhadapan dengan garis keras Rusila, dihadapi dengan garis lembut Raja Bahrin,” katanya.

– SH