HUKUMAN TERHADAP RAFIZI ‘TAKUTKAN’ PEMBERI MAKLUMAT, KATA POLITIKUS, AKTIVIS

POLITIKUS Pakatan Harapan dan aktivis masyarakat hari ini marah dan kecewa dengan hukuman penjara 30 bulan terhadap naib presiden PKR Rafizi Ramli dan bekas kerani bank Johari Mohamad.

“Ya, sekali lagi hari hitam buat sistem perundangan negara. 30 bulan adalah berat, dan sangat menakutkan buat rakyat yang berpotensi (mendedah maklumat) untuk membenteras penyalahgunaan kuasa, pecah amanah, songlap dan beraneka jenayah kolar putih,” kata pengarah strategik Amanah Dr Dzulkefly Ahmad kepada The Malaysian Insight.

Bekas ahli Parlimen Kuala Selangor itu berkata Rafizi dihukum kerana usahanya untuk mendedahkan  rasuah.

“Tidak dapat dielakkan persepsi buruk rakyat terhadap perundangan negara… yang tidak melindungi rakyat yang baik… bahkan sebaliknya melindungi penjenayah,” kata Dr Dzulkefly.

“Kalau usaha untuk membenteras jenayah dianggap jenayah, maka negara sedang dipimpin penjenayah.”

Rafizi dan Johari didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara 30 bulan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam kerana melanggar Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (Bafia) berhubung kebocoran akaun National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC).

Pada 2011, Rafizi mendedahkan pembelian unit kondominium mewah, kereta mewah, dua plot tanah di Putrajaya dan melancong ke luar negara selain penggunaan kad kredit yang mencecah RM600,000 untuk tujuan pembangunan perniagaan. NFC dimiliki oleh suami ketua Wanita Umno Shahrizat Abdul Jalil iaitu Mohamad Salleh Ismail.

Pada 2010, ketua audit negara membangkitkan kegagalan NFC untuk mencapai matlamat asal untuk membiak 8,000 ekor lembu di Gemas, Negeri Sembilan.

Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty Eric Paulsen berkata, hukuman 30 bulan penjara itu terlalu keras buat Rafizi dan Johari yang telah melanggar undang-undang perbankan dengan tujuan untuk mendedahkan salah laku dana awam.

“Ini sangat mengejutkan. Pemberi maklumat dihukum kerana mendedahkan penyalahgunaan kuasa dan rasuah,” katanya.

Sementara itu, pengarah Center to Combat Corruption and Cronyism (C4) Cynthia berkata keputusan mahkamah itu mengecewakan.

“Ia menunjukkan kelemahan dalam Akta Perlindungan Pemberi Maklumat yang pada dasarnya tidak menggalakkan laporan awam kes rasuah. Ia mesti digubal segera bagi memasukkan keselamatan pemberi maklumat,” katanya.

Tambah Cynthia, Akta Perlindungan Pemberi Maklumat tidak sepatutnya tertakluk kepada Akta Perbankan dan Institusi Kewangan dan Akta Rahsia Rasmi.

“Penghakiman hari ini jelas menunjukkan yang undang-undang tidak boleh dilaksanakan tanpa perbahasan yang betul di Parlimen. Ia turut mencerminkan keupayaan politik dan kepimpinan yang lemah untuk melawan rasuah,” katanya.

Bekas ahli Parlimen Balik Pulau Yusmadi Yusoff berkata keputusan mahkamah itu memberi mesej jelas buat rakyat bahawa “atas nama kerahsiaan, kesalahan rakyat boleh dilindungi.”

Ahli Parlimen DAP Kulai Teo Nie Ching pula berkata, walaupun penangguhan pelaksanaan hukuman oenjara boleh ditangguhkan, keputusan mahkamah itu secara langsung telah membatalkan kelayakan Rafizi untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

“Kita perlu pastikan yang pengorbanannya bukan pengorbanan yang sia-sia,” katanya melalui Facebook.

Ahli Dewan Undangan Negeri Subang Jaya Hannah Yeoh berkata, keputusan makhamah itu jelas menunjukkan yang pemberi maklumat boleh dihukum.

“Ketidakadilan terhadap Rafizi ini secara tak langsung menyeru semua rakyat Malaysia untuk mengubah hal tak masuk akal ini melalui peti undi. Undi anda penting untuk pastikan pengorbanannya itu tidak sia-sia,” kata Yeoh.

“Ini adalah pengorbanan yang besar yang diterimanya untuk negara, untuk jauh dari keluarga dan anak-anaknya. Parlimen akan kehilangan seorang ahli kerana tidak dapat bertanding dalam PRU14,” tambahnya.

Dua hari sebelum, Rafizi melalui Twitternya menulis perkara yang paling beliau kesal apabila menyertai politik adalah bila beliau terpaksa berpisah dengan anaknya.

“Saya tak menyesal dengan apa yang saya buat dalam politik. Kecuali masa-masa yang tak sempat saya luangkan dengannya. Selamat malam, Ben,” tulis Rafizi.

Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Abdul Rahman meluahkan kekagumannya terhadap Rafizi.

“Doa saya untuk awak. Tak ramai yang mampu buat apa yang awak buat. Tak ramai sanggup dipenjarakan (untuk menegakkan kebenaran),” tulisnya melalui Twitter.

“Senang hati saya yang masih ada lagi rakyat Malaysia seperti awak.

“Luluh hati saya melihat awak di penjara. Kami akan cuba keluarkan awak, insya Allah,” katanya.

– https://www.themalaysianinsight.com

.