HUJAH MUSA HASSAN TAK BOLEH PAKAI, SALAH – RAFIZI

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli hari ini mengemukakan bukti bagi menepis hujah-hujah bekas ketua polis negara Tan Sri Musa Hassan yang mempersoalkan dakwaan Datuk Seri Najib Razak membayar peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sebanyak RM9.5 juta.

“Hari ini, saya ingin mengemukakan bukti bahawa hujah pembela-pembela (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib (Razak) bahawa akaun beliau telah ditutup sebelum bayaran dibuat tidak boleh diguna pakai dan salah.

“Kertas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang bocor secara jelas memperincikan bagaimana sementara satu akaun Najib ditutup pada 31 Ogos 2013, ada tiga akaun baru yang dibuka bagi menggantikan akaun yang ditutup itu.

“Ada tiga akaun peribadi Najib yang masih beroperasi dalam tempoh September 2013 hingga Februari 2014 iaitu tarikh-tarikh bayaran dibuat kepada Tan Sri Shafee,” kata ahli Parlimen Pandan itu dalam kenyataan.

Semalam, Musa mempersoalkan kesahihan laporan Sarawak Report yang mendakwa Najib membayar Muhammad Shafee sebanyak RM9.5 juta.

“Jadi macam mana kalau akaun sudah tutup (tetapi) wang RM9.5 juta ini boleh dibayar kepada peguam tersebut?

“Saya rasa benda ini tidak betul kerana akaun dah tutup pada 30 Ogos tapi bayaran (dibuat) pada 11 Sept 2013 dan 17 Feb 2014. Jadi bagi saya tidak betul,” kata Musa.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, terdapat kronologi tindakan menutup akaun, membuka akaun baru dan memindahkan dana seperti yang diperincikan di dalam kertas siasatan SPRM itu.

 

“Akaun asal yang digunakan oleh Najib untuk menerima pemindahan wang yang besar dibuka dalam pada Januari 2011 dengan no akaun berakhir 9694 atas nama sendiri (dirujuk sebagai Akaun -9694).

“Dalam tahun 2011, lebih RM300 juta dana dari luar negara dimasukkan ke akaun berkenaan dan dalam tahun 2012, lebih RM830 juta dana dari luar negara dimasukkan ke akaun yang sama.

“Pada tahun 2013 pula, lebih RM2 bilion dana dari luar negara dimasukkan ke akaun itu dengan jumlah terkumpul dana yang dimasukkan ke akaun berakhir 9694 itu antara 2011 dan 2013 ialah sekitar RM3.2 bilion sebelum sejumlahnya mula dipindahkan balik ke luar negara,” katanya.

Antara 2 Ogos 2013 hingga 23 Ogos 2013, wang dari akaun berakhir 9694 itu dipindahkan beransur-ansur dalam lima pindahan dengan jumlah keseluruhan yang dipindahkan keluar negara adalah USD620 juta bersamaan lebih RM2 bilion, jelasnya.

“Sebelum penutupan akaun berakhir 9694 itu dibuat pada Ogos 2013, ada tiga akaun baru yang dibuka atas nama Najib pada Julai 2013 iaitu AmPrivate Banking (“Akaun -1880”), AmPrivate Banking (“Akaun -1898”) dan AmPrivate Banking (“Akaun -1906”).

“Sebelum Akaun -9694 ditutup, bakinya (selepas pemindahan wang sebanyak RM2.034 bilion) lebih RM162 juta dipindahkan ke akaun -1880 yang baru dibuka dan antara Ogos 2013 ke Mac 2014, Najib pindahkan pula sejumlah RM160 juta dari akaun -1880 ke akaun -1906 dan akaun -1898,” jelas Rafizi.

Ketiga-tiga akaun tersebut adalah akaun-akaun yang sama dalam carta aliran dana wang SRC International Sdn Bhd yang mengalir ke akaun Najib yang pernah ditunjukkan oleh Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali sebelum ini, ujarnya.

“Oleh yang demikian, kita boleh sahkan bahawa wujud tiga akaun yang digunakan oleh Najib antara September 2013 hingga Februari 2014 ketika bayaran RM9.5 juta dibuat kepada Shafee iaitu akaun -1880, akaun -1906 dan akaun -1898. Bayaran RM9.5 juta itu boleh datang dari mana-mana akaun ini,” katanya lagi.

Justeru, tambah Rafizi, alasan yang cuba diketengahkan dengan menggunakan Musa adalah memalukan kerana jelas ia tidak benar.

“Sampai bila Najib akan berdiam diri dan mengelak dari menjawab bukti-bukti yang datang dari dokumen yang dipercayai kertas siasatan SPRM sendiri,” tanya beliau.

Malaysiakini telah menghubungi pejabat Najib untuk mendapatkan maklum balas kepada dakwaan Rafizi mengenai kewujudan tiga akaun itu.

Malaysiakini juga tidak dapat mengesahkan secara bebas dakwaan Sarawak Report atau menentukan sama ada dakwaan bayaran kepada Muhammad Shafee yang berkaitan peranan beliau dalam kes Anwar.

– M’kini

.