HUBUNGAN PARTI PEMBANGKANG HANYA BAHAN LAWAK, KATA NAJIB

PERDANA Menteri Najib Razak menyifatkan hubungan di antara parti komponen pembangkang bukan saja bahan ketawa tetapi ia terjalin atas dasar kepentingan peribadi masing-masing.

Najib berkata hubungan politik seperti itu terjalin berdasarkan konsep politik ahli falsafah Niccolo Machiavelli iaitu menghalalkan cara untuk mencapai tujuan.

“Pembangkang ni.. macam nak ketawa lihat apa mereka buat. Ia macam kahwin kontrak. Itu bahasa baiknya.

“Tetapi realitinya ialah, ia politik Machiavellian. Musuh kepada musuh anda ialah kawan saya,” katanya.

Najib berkata, beliau percaya bahawa pemimpin-pemimpin pembangkang iaitu Lim Kit Siang, Anwar Ibrahim dan Dr Mahathir Mohamad mempunyai agenda yang berbeza meskipun bekerjasama di bawah satu gabungan Pakatan Harapan (PH).

“Saya percaya mimpi Mahathir lain, Lim Kit Siang lain, Anwar lain. Cuba kita tengok dalam mindanya.

I’m sure mimpi lain-lain. You cannot have a country where the ideologies are different. They have their personal agenda. We cannot risk this country (Anda tak boleh ada negara yang mempunyai pelbagai ideologi. Mereka ada agenda peribadi. Kita tak boleh bahayakan negara ini),” katanya.

Lim dan Anwar sebelum ini pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sewaktu pentadbiran perdana menteri yang pernah berkhidmat selama 22 tahun itu.

Kini, Dr Mahathir berganding bahu dengan bekas musuh ketatnya Anwar untuk menggulingkan Najib pada Pilihan Raya Umum akan datang (PRU14).

Sebelum ini, Putrajaya berkali-kali menggelarkan Lim pemimpin sebenar pakatan pembangkang apabila setiausaha akhbar kepada Najib, Tengku Sarifuddin menyifatkan Mahathir sekadar boneka DAP dan bukannya “top dog”AC dalam gabungan PH.

– https://www.themalaysianinsight.com

.