HISHAMUDDIN HARUS DESAK SIASATAN KE ATAS 1MDB, LTAT DAN SCORPENE

Saya mengikuti dengan dekat kenyataan Menteri Pertahanan Hishamuddin Hussein berkenaan kesediaan untuk disiasat sekiranya terdapat dakwaan rasuah terhadap beliau.

Ini merupakan kenyataan yang berani oleh Menteri dan patut dipuji kerana keterbukaan dan ketelusan sebegitu amatlah asing di dalam pentadbiran kerajaan sedia ada.

Sebagai Menteri Pertahanan, amatlah penting untuk beliau memanjangkan keterbukaan tersebut untuk mengulas serta menjelaskan beberapa isu legasi di dalam portfolio beliau termasuklah berkenaan skandal berbillion ringgit kapal selam Scorpene yang berlaku ketika Perdana Menteri Najib Razak menggalas jawatan Menteri Pertahanan.

Skandal tersebut serta skandal 1MDB telah mencemarkan reputasi negara di peringkat antarabangsa. Dua pegawai berkait perjanjian Scorpene juga telah didakwa oleh pihak berkuasa Perancis. Skandal 1MDB yang berlaku ketika Najib menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan sudah pun mengundang tindakan undang-undang di Switzerland, Singapura, Amerika Syarikat dan Australia.

1MDB sendiri telah mendatangkan kesan negatif kepada pihak veteran tentera yang terpaksa menanggung kelewatan bayaran pencen beberapa bulan akibat urusan LTAT dengan 1MDB. Malah ini juga berlaku ketika rakyat tertekan akibat keadaan ekonomi yang teruk.

NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN